KUALA LUMPUR: Orang awam diingatkan supaya tidak melindungi atau bersubahat menyembunyikan orang kena tuduh (OKT) warga Pakistan yang lolos dari Penjara Sungai Buloh semalam.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata tindakan undang-undang boleh diambil di bawah Seksyen 216 Kanun Keseksaan terhadap mana-mana individu yang didapati membantu OKT berkenaan.
Advertisement
Beliau berkata kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau dengan denda.
“Tahanan reman itu meloloskan diri semasa turun dari kenderaan polis sebaik tiba di Padang Kawad Penjara Sungai Buloh.
“Proses menghantar tahanan reman ke penjara itu dilakukan oleh Cawangan Pengawal Pengiring Shah Alam. Sejurus menerima laporan berkenaan, pihak polis telah mempergiatkan usaha mengesan banduan itu di kawasan sekitar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 6 petang semalam, seorang tahanan reman dikenali sebagai Muhammad Hassan, 24, meloloskan diri daripada kawalan polis sejurus selesai prosiding perbicaraan di Mahkamah Shah Alam.
Lelaki itu yang kali terakhir dilihat memakai kemeja-T berwarna oren dan seluar panjang hitam, ditahan bagi perbicaraan berkaitan kes seksual terhadap kanak-kanak dan kesalahan imigresen.
-- BERNAMA