Kerajaan berharap lebih banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bumiputera diwujudkan memandangkan ia masih diberi keutamaan dalam Bajet 2017, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan.

Beliau berkata walaupun ekonomi semasa berdepan cabaran, kerajaan terus memberi komitmen kepada PKS bumiputera, yang menerima RM1.12 bilion atau 16.8 peratus daripada peruntukan RM6.65 bilion untuk pembangunan PKS.

"Daripada 645,000 PKS di negara ini, hanya 37 peratus PKS bumiputera, dan 18 peratus daripada PKS bumiputera itu terlibat dalam pengeksportan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sijil UNIDO-IEEMMS di sini, pada Selasa.

Beliau berkata antara agensi yang membantu PKS bumiputera ialah SME Bank, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga, Majlis Amanah Rakyat dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera, dengan kerjasama SME Corp.

UNIDO merupakan Pertubuhan Pembangunan Perindustrian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu manakala IEEMMS adalah Kecekapan Tenaga Industri bagi Sektor Pembuatan Malaysia.

Sijil UNIDO-IEEMMS itu disampaikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua, Datuk Seri Ong Ka Chuan, kepada 65 peserta daripada 44 syarikat.

Ong berkata penggiat industri perlu mempunyai pelan tindakan untuk terus meningkatkan prestasi tenaga.

Sementara itu, Pegawai Pembangunan Industri, Jabatan Tenaga UNIDO, Sanjaya Man Shrestha, berkata projek UNIDO-IEEMMS, bermula pada 2012, merupakan program khusus terbesar untuk Malaysia di Asia Tenggara.

"Ia adalah unik memandangkan program itu mempunyai semua unsur untuk menggalakkan kecekapan tenaga di dalam kemudahan industri.

"Di bawah program tersebut kami menunjukkan bagaimana industri pembuatan boleh berjimat dengan usaha sendiri yang lebih berbaloi dari segi kos, mereka boleh melaksanakannya di kemudahan syarikat masing-masing sekali gus mencatatkan keuntungan lebih baik bagi jangka panjang," katanya.

Peserta yang merupakan pengasas dan pemilik jenama syarikat makanan dan minuman, G&G Dessert Product Sdn Bhd, Vathumalaai berkata program tersebut mendedahkan beliau kepada kepentingan kecekapan tenaga.

"Oleh kerana PKS mempunyai sumber terhad, saya kini menyedari betapa pentingnya untuk mengurangkan penggunaan tenaga dan beroperasi secara mesra alam," katanya. - BERNAMA