KOTA KINABALU: Sabah menyifatkan pembentangan Bajet 2022 hari ini sebagai inklusif dan tidak membelakangkan mana-mana sektor ketika negara sedang bergelut dengan pandemik COVID-19.

Sambil menyambut baik pembentangan itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, bajet bertemakan 'Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera' melibatkan RM332.1 bilion itu besar kerana 2022 akan menjadi tahun pemulihan sektor-sektor yang terjejas.

"Kenaikan peruntukan kepada RM5.6 bilion untuk kemudahan asas, infrastruktur, air dan elektrik serta pembangunan penjagaan kesihatan untuk Sabah adalah berita baik," katanya selepas mengikuti pembentangan Bajet 2022 di sini, pada Jumaat.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Jeffrey Kitingan; Menteri Kewangan II Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong.


Bajet 2022: Pembangunan luar bandar secara holistik

BACA SEMUA LAPORAN MENGENAI BAJET 2022 DI SINI

Hajiji berkata, Sabah menghargai usaha berterusan kerajaan Persekutuan terhadap keperluan negeri dengan mencadangkan RM1.5 bilion untuk pembangunan infrastruktur luar bandar di Sabah dan Sarawak.

Beliau turut menyambut baik jaminan bahawa projek infrastruktur bernilai RM3.5 bilion, antaranya ialah Lebuh Raya Pan Borneo akan diteruskan pada tahun hadapan.


Katanya, cadangan pelepasan cukai dan insentif untuk pelbagai sektor dalam Bajet 2022 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, melengkapkan agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

"Kami melihat Bajet 2022 sebagai melengkapkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan kami mengalu-alukan cadangan peruntukan untuk Sabah tahun depan,” katanya.

Sementara itu, Hajiji turut mengalu-alukan langkah kerajaan meneruskan subsidi RM209 juta untuk perkhidmatan pengangkutan udara di Sabah dan Sarawak.

Selain itu, tambahnya cadangan penambahan Kem Pasukan Gerakan Am (GOF) di Pagalungan akan sangat membantu meningkatkan keselamatan sempadan antara Malaysia dan Indonesia.