SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan berkuat kuasa pada Jumaat, 5 Jun.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada jam 8.30 malam, Khamis.
"Notis akan dihantar kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada esok (5 Jun). SPR akan menentukan tarikh penamaan calon dan hari pengundian.
"Pembubaran DUN ini mengembalikan mandat kepada rakyat bagi menentukan hala tuju pentadbiran negeri melalui pilihan raya.
"Sebelum ini ada pihak yang pada awalnya menyokong Kerajaan negeri dan kemudian menarik balik sokongan," kata Aminuddin menerusi satu sidang media khas di kediaman rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan, di sini, pada malam Khamis.
Sebelum ini, Pilihan Raya Negeri (PRN) terakhir bagi Negeri Sembilan diadakan pada 12 Ogos 2023.
Pada PRN 2023 itu, Pakatan Harapan (PH) memenangi 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), diikuti Barisan Nasional (BN) dengan 14 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) lima kerusi.
Negeri Sembilan sepatutnya mencapai tempoh matang maksimum penggal pada September 2028.
Selain itu, Aminuddin memaklumkan keputusan membubarkan DUN itu sudah dimaklumkan dan mendapat persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menyentuh persiapan menghadapi PRN, beliau memaklumkan rundingan pengagihan kerusi DUN Negeri Sembilan dalam kalangan parti Pakatan Harapan (PH) sudah selesai.
"Kita (PH) akan bertanding di kesemua 36 kerusi DUN Negeri Sembilan. Persetujuan sudah dicapai antara Amanah, DAP dan PKR. Pembahagian kerusi dijangka dimuktamadkan dan diumumkan pada minggu hadapan," jelasnya lagi.