KUALA LUMPUR: Bajet 2022 menampilkan semula langkah-langkah yang diperkenalkan Pakatan Harapan (PH) untuk meningkatkan keselamatan sosial dan mewujudkan peluang pekerjaan, kata Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Damansara itu mendakwa, kerajaan gagal mengetengahkan langkah atau strategi untuk mengelak krisis bajet yang didakwa bakal terjadi dalam masa terdekat.

"Bajet 2022 gagal menangani, sama ada dari segi strategi atau langkah, krisis bajet yang dijangka dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

"Seperti yang dinyatakan dalam Tinjauan Fiskal Belanjawan 2022, Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana 2022-2024 menganggarkan bahawa hasil kerajaan hanya akan mencecah 13.9% daripada KDNK dalam tempoh ini.

"Ini adalah penurunan daripada jangkaan 14.3% pada 2022, mengukuhkan penurunan jangka panjang daripada 15.9% (2020) dan lebih tinggi pada tahun-tahun sebelumnya.

"Secara ringkasnya, pada masa hadapan, kerajaan akan mempunyai kurang dana untuk berbelanja, melabur dan mempengaruhi hala tuju ekonomi negara," jelas Pua dalam satu kenyataan sejurus pembentangan Bajet 2022 oleh Menteri Kewangan semalam.

Terdahulu, Pua memuji Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz kerana bersetuju menerima pakai beberapa langkah penting yang disarankan PH, sebagai sebahagian daripada penglibatan pihaknya di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) antara mereka.

Paling utama, katanya, kerajaan memperuntukkan RM40 bilion di bawah Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia (SemarakNiaga) untuk membantu perniagaan pulih daripada krisis ekonomi kesan daripada wabak COVID-19.

"Dana tersebut ditujukan untuk semua perniagaan, besar dan kecil.

"PH telah mencadangkan kepada Kementerian Kewangan bahawa sekurang-kurangnya RM30 juta mesti diperuntukkan untuk membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS)," katanya.

Langkah lain yang dikemukakan PH dan diterima pakai kerajaan termasuk cadangan memanjangkan perlindungan Perkeso kepada individu yang bekerja sendiri dan pekerja sektor gig.