KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) hari ini telah melakar satu sejarah negara dengan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang berlangsung di Dewan Bankuet, Parlimen.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, MoU tersebut merangkumi enam perkara termasuk Pemerkasaan Pelan COVID-19, Transformasi Pentadbiran, serta Pembaharuan Parlimen.

Selain itu, tiga lagi adalah Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

"Kerajaan yakin memorandum persefahaman yang dizahirkan ini bukan sahaja berupaya mengenepikan segala perbezaan politik, bahkan mampu memastikan pemulihan negara berjalan secara holistik dan inklusif.

"Setinggi penghargaan kepada Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah membulatkan tekad, mengenepikan perbezaan ideologi politik untuk bersama-sama memacu kestabilan ekonomi dan kesejahteraan Keluarga Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

MoU tersebut disempurnakan oleh Perdana Menteri bersama-sama pimpinan kanan PH iaitu Presiden PKR merangkap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut sama menandatangani MoU tersebut ialah Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu serta Presiden UPKO Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Selain itu, turut hadir Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim.

Manakala, ahli Parlimen yang dilaporkan hadir ialah Tan Sri Annuar Musa; Datuk Seri Saifuddin Nasution, Datuk Seri Salahuddin Ayub, Anthony Loke Siew Fook serta Datuk Donald Peter Mojuntin.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata memorandum tersebut membentuk satu kerjasama ‘dwi-partisan’ yang ampuh dan mantap dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia, selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong sempena pembukaan Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat Parlimen Keempat Belas hari ini.

Jelas beliau, hasrat Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin AlMustafa Billah Shah agar semua pihak perlu mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa jua permasalahan demi mencapai matlamat Malaysia Makmur, Inklusif dan Mampan.

"Semangat Keluarga Malaysia yang menekankan perpaduan, kesepakatan dan kebersamaan inilah yang dizahirkan dalam memorandum persefahaman oleh kerajaan dan Ahli-ahli Yang Berhormat pada petang ini.

"Transformasi yang diperkenalkan kerajaan ini bukan sahaja mendorong kepada tadbir urus yang cemerlang dalam memerangi COVID-19 dan pemulihan ekonomi, bahkan memangkin iklim pelaburan yang kondusif, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi yang kukuh demi kesejahteraan Keluarga Malaysia," ujarnya.

BACA: Transformasi Parlimen dan Kerajaan: MoU petang ini buka lembaran baharu sejarah negara