KUALA LUMPUR: Secara keseluruhannya, sejumlah RM14.2 bilion dana tersedia untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam Bajet 2022.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, dana khas Bank Negara Malaysia (BNM) terutamanya Targeted Relief and Recovery Facility juga ditingkatkan sebanyak RM2 bilion.

Menurutnya, jumlah ketersediaan pelbagai dana PKS BNM pada masa ini adalah sebanyak RM11.2 bilion.

“Selain itu, institusi kewangan seperti SME Bank, PUNB, BPMB, AgroBank, MIDF dan MARA turut menyediakan dana untuk PKS. Satu inisiatif khusus untuk membantu syarikat tersenarai di Bursa juga akan diperkenalkan.

“Inisiatif ini bertujuan membantu syarikat berdaya maju tetapi terkesan akibat pandemik COVID-19 mendapat suntikan dana tambahan melalui sebuah SPV (syarikat tujuan khas) milik kerajaan dalam bentuk instrumen ekuiti atau instrumen lain yang berkaitan.

“Untuk tujuan ini, Khazanah Nasional Berhad akan diberi mandat bagi membantu kerajaan menyediakan infrastruktur untuk mentadbir dana bersaiz sekurang-kurangnya RM3 bilion,” katanya ketika membentangkan Bajet 2020 di Dewan Rakyat pada Jumaat.


BACA SEMUA LAPORAN MENGENAI BAJET 2022 DI SINI

Tambahnya, kerajaan juga mencadangkan beberapa inisiatif untuk membantu PKS seperti berikut:

1) Penangguhan bayaran ansuran cukai pendapatan bagi PMKS selama enam bulan sehingga 30 Jun 2022.
2) Semua perniagaan dibenar membuat pindaan anggaran cukai pendapatan yang kena dibayar dalam bulan ke 11 sebelum 31 Oktober 2022.
3) Potongan cukai khas sehingga Jun 2022 kepada pemilik bangunan atau ruang perniagaan yang memberikan pengurangan sewa sekurang-kurangnya 30 peratus.
4) Kerugian terkumpul yang tidak dapat diserap boleh dibawa ke hadapan untuk tempoh daripada maksimum tujuh tahun taksiran berturut-turut kepada maksimum 10 tahun taksiran berturut-turut.

Menurutnya, kerajaan juga menyediakan dana khas pelaburan strategik sehingga RM2 bilion bagi menarik pelaburan asing strategik dalam kalangan syarikat multinasional.

Jelasnya, ia khusus untuk syarikat yang dapat melengkapkan rantaian nilai industri dan memacu penjanaan pekerjaan berteraskan pengetahuan dan peluang pembangunan PKS tempatan.

“Bagi memperkasa daya pemulihan ekonomi negara, Bajet ini memperuntukkan RM25 juta untuk meneroka pelaburan berimpak tinggi dan pasaran eksport baharu melalui Misi Perdagangan dan Pelaburan.

“Untuk memenuhi keperluan kemahiran terutamanya oleh industri dengan aktiviti nilai tambah tinggi, RM80 juta akan disediakan melalui MITI bagi melatih 20,000 pekerja yang menyokong kluster industri seperti MRO di Subang, E&E di Kulim dan Kimia di Gebeng.

“Di samping itu, RM50 juta juga disediakan melalui pusat pembangunan kemahiran negeri, seperti di Sarawak, Johor dan Pulau Pinang, bagi meningkatkan tahap kemahiran TVET untuk 5,000 pekerja dalam bidang seperti kimpalan minyak dan gas, automasi perindustrian dan mekatronik,” ujarnya.