KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus memperkasa sekuriti makanan supaya tidak lagi bergantung kepada bekalan import agar mampu berdaya tahan daripada sebarang kejutan pada masa hadapan.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata bagi meningkatkan penghasilan makanan, kerajaan berhasrat untuk memanfaatkan tanah terbiar milik Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

Beliau berkata inisiatif itu akan dilakukan di tanah terbiar milik agensi berkenaan dan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dengan keluasan sehingga 800 ekar (323 hektar) untuk tanaman makanan.

"Bagi menyokong usaha pertanian lestari, RM56 juta diperuntukkan kepada MAFI untuk pelbagai inisiatif seperti pembangunan kelestarian agromakanan," katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata bagi meningkatkan tahap kemandirian pengeluaran (SSL) di samping menggalakkan penggunaan teknologi dalam sektor pertanian, beberapa inisiatif akan dilaksanakan antaranya melalui Skim Pembiayaan Agrofood BNM pada kadar 3.5 peratus untuk pengusaha agromakanan meningkatkan produktiviti pengeluaran, dana RM1 bilion disediakan.

Selain itu, katanya program Agrovest oleh Agrobank antaranya akan menyediakan dana permulaan kepada syarikat pemula pertanian berteknologi moden dengan dana RM250 juta.

"Pelaburan RM200 juta oleh Khazanah di bawah Dana Impak dengan fokus untuk meningkatkan pendapatan dan produktiviti pekebun kecil serta program Digital Agtech di bawah Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) akan diperluas ke 264 Pertubuhan Peladang Kawasan di seluruh negara dengan peruntukan RM20 juta bagi melatih lebih ramai pekebun kecil beradaptasi dengan teknologi digital," katanya.

Turut dirancang, program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia yang akan memberi fokus kepada galakan tanaman rendah SSL seperti cili, halia, dan kobis dalam kalangan isi rumah terpilih.

Tengku Zafrul berkata tempoh galakan cukai bagi projek pengeluaran bahan makanan akan dilanjutkan sehingga akhir 2025 dengan skop galakan juga diperluas untuk turut merangkumi projek pertanian moden berasaskan Controlled Environment Agriculture atau Pertanian Persekitaran Terkawal.

"Sebagai contoh, konsep indoor vertical farming (perladangan secara menegak di dalam kawasan) diusahakan Dr Jayanthi dari syarikat Boomgrow dengan menanam sayur di dalam kontena kargo yang diubah suai dan menggunakan lampu dengan sensor Internet benda (IoT) serta mengaplikasi algoritma kecerdasan buatan (AI)," katanya.

Kerajaan juga katanya bercadang melanjutkan insentif cukai bagi syarikat berstatus BioNexus untuk permohonan yang diterima hingga hujung 2024 dan akan ditambah baik dengan pengecualian cukai pendapatan ke atas pendapatan berkanun dinaikkan daripada 70 peratus kepada 100 peratus.

Bagi memacu produktiviti dan meningkatkan kecekapan melalui automasi khususnya dalam sektor pertanian, kerajaan bercadang untuk memberi Elaun Modal Dipercepatkan dan mengecualikan cukai pendapatan 100 peratus ke atas perbelanjaan modal.

Insentif ini katanya, terpakai bagi sektor perkilangan, pertanian dan perkhidmatan termasuk berkaitan perubatan yang mengadaptasi elemen Industri 4.0 serta pengusaha yang melaksanakan sistem reban tertutup.

-- BERNAMA