KUALA LUMPUR: Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) berharap Bajet 2023 dapat menangani jurang jantina dalam pekerjaan, memberi perlindungan keselamatan sosial, akses kepada hak dan mekanisme keadilan serta meningkatkan kerja penjagaan tanpa upah yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Presidennya Prof Emeritus Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin berkata pelaburan dalam ekonomi penjagaan kanak-kanak perlu dipertingkatkan untuk menyokong pekerjaan wanita.

"Sokongan kewangan perlu diberikan kepada penyedia penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak yang ditutup semasa pandemik selain menyediakan insentif untuk menggalakkan model baharu penjagaan kanak-kanak yang dikaitkan dengan ekonomi gig," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menurut Sharifah Hapsah, Bajet 2023 harus menggalakkan bekerja dari rumah dan aturan kerja yang lebih fleksibel bagi pekerja sektor awam dan swasta, contohnya kakitangan boleh pergi ke pejabat mengikut giliran atau jam secara berperingkat.

Beliau berkata walaupun peningkatan dalam penggunaan teknologi tanpa sentuh dan digital semasa pandemik COVID-19, namun isu timbul dalam aspek ketersediaan, kebolehcapaian dan kemampuan untuk wanita terutamanya penduduk di kawasan luar bandar dan golongan B40.

Sharifah Hapsah berkata, untuk mengintegrasikan ekonomi digital baharu dengan gaya hidup baharu, NCWO ingin melihat pengurangan cukai yang lebih tinggi untuk pembelian peranti digital, meningkatkan liputan Internet terutamanya di kawasan luar bandar dan meningkatkan bilangan Pusat Internet Komuniti (PIK) di seluruh negara dengan liputan Wi-fi 24 jam dengan setiap kampung mempunyai sekurang-kurangnya sebuah PIK.

Sementara itu Felow Akademi Sains Malaysia dalam bidang ekonomi, kajian pembangunan dan kemiskinan Datuk Dr Madeline Berma berkata Bajet 2023 perlu memberi tumpuan kepada pemberian subsidi bersasar kepada wanita dalam kategori B40 dan B20 yang menjadi ketua isi rumah bagi membantu meringankan beban kewangan mereka.

Bagi membantu golongan wanita menangani kos sara hidup pula beliau mencadangkan Bajet 2023 memperkenalkan insentif bagi penubuhan koperasi di kawasan perumahan kos rendah seperti rumah pangsa.

"Koperasi untuk penghuni rumah pangsa boleh membantu tugas harian wanita seperti koperasi kelas tadika, kedai runcit, khidmat pengutipan sampah, pengurusan persekitaran, kredit suri rumah tangga dan ibu tunggal," katanya.

Menurut Madeline insentif boleh diberikan kepada anggota isi rumah yang melibatkan diri dalam pertanian pintar atau koperasi kebun bandar.

Bajet 2023 juga perlu peka kepada jantina dalam setiap program pemulihan negara, menyediakan peluang menjana pendapatan dan membangunkan pangkalan data berasaskan pecahan jantina, katanya.

Sementara itu Presiden (Usahaniaga) Capital A Berhad Aireen Omar ketika ditemui berharap Bajet 2023 memperkenalkan lebih banyak insentif sektor pelancongan bagi menggalakkan orang ramai bercuti dan lebih merancakkan ekonomi membabitkan wanita.

"Data Capital A menunjukkan sebahagian besar daripada mereka yang membuat tempahan penerbangan dan pakej percutian ialah golongan wanita yang ingin bercuti bersama keluarga, bersendirian atau secara berkumpulan," katanya.

Sementara itu ahli perniagaan Wan Nor Aziah Wan Muda yang mengusahakan dua stesen minyak berharap kenaikan harga barangan dapat dikawal kerana kebelakangan ini terdapat barangan di kedai serbaguna stesen minyak yang meneccah sehingga dua kali ganda sekali gus mengundang kemarahan dan rungutan pelanggan.

Penjawat awam Siti Maslinda Hamzah yang memiliki tujuh anak pula berharap Bajet 2023 lebih mesra dapur keluarga kerana kenaikan harga makanan membebankan golongan yang mempunyai ramai anak.

-- BERNAMA