KUALA LUMPUR: Bajet 2023 yang akan dibentangkan Jumaat ini diharap akan terus menyediakan peruntukan besar kepada Sabah dan Sarawak bagi melaksanakan projek pembangunan khususnya infrastruktur dan pendidikan di kawasan pedalaman kedua-dua negeri itu.

Di bawah Bajet 2022, sebanyak RM5.16 bilion diperuntukkan kepada Sabah dan RM4.67 bilion untuk Sarawak bagi tujuan perbelanjaan pembangunan dan ia merupakan peningkatan sebanyak RM104 juta bagi Sabah dan RM158 juta bagi Sarawak berbanding tahun 2021.

Pensyarah Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (Ekonomi) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah Herniza Roxanne Marcus berkata peruntukan tinggi itu penting kerana masih banyak kawasan pedalaman di kedua-dua negeri itu belum dilengkapi infrastruktur asas seperti jalan raya yang baik, air dan elektrik sedangkan ia komponen utama untuk memajukan penduduk.

Herniza berkata bagaimanapun beliau memahami pembangunan infrastruktur di sesetengah kawasan di Sabah seperti daerah Tongod yang berkeluasan melebihi 10,000 kilometer persegi memerlukan masa lama untuk dilaksanakan disebabkan faktor bentuk geografi dan keluasan kawasan.

"Namun dengan fokus dan perancangan pembangunan yang teratur dan efektif, saya percaya kita boleh mengeluarkan Tongod daripada senarai antara daerah termiskin di Sabah kerana lebih banyak peluang pekerjaan dan keusahawanan dapat disediakan untuk membangunkan daerah tersebut," katanya kepada Bernama.

Bagi mencapai pembangunan itu, Herniza juga berharap kerajaan negeri dapat bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan dalam menyalurkan maklumat tepat berhubung data kemiskinan dan lain-lain agar keperluan penduduk dapat diperincikan.

Beliau turut berkata selain infrastruktur, pembangunan jaringan jalur lebar Internet juga perlu dititikberatkan kerana telah terbukti kemudahan telekomunikasi itu menjadi penggerak pelbagai sektor terutama pendidikan dan pelancongan.

"Pendidikan merupakan nadi kepada masyarakat yang berilmu, jadi kepentingan dalam mengutamakan keperluan asas Internet untuk pendidikan perlu diberi perhatian khusus bagi membolehkan bidang ini bergerak seiring dengan kemajuan teknologi terutama dalam proses pengajaran dan pembelajaran," katanya.

Berhubung pelancongan pula, Herniza berkata ia antara sektor di kedua-dua negeri itu yang paling terkesan akibat pandemik COVID-19 dan untuk membangunkannya semula, kerajaan perlu membuat pelaburan bagi memastikan fasiliti industri itu berada pada tahap memuaskan untuk menerima pelawat.

Sementara itu, penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi turut berharap kerajaan dapat tampil dengan mekanisme khusus bagi Sabah dan Sarawak menangani isu kenaikan kos sara hidup ketika ini.

Katanya antara mekanisme boleh dipertimbang ialah meningkatkan geran pembangunan perniagaan kepada usahawan melalui Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dan menyalurkan bantuan subsidi secara bersasar kepada kelompok B40, tanpa meminggirkan golongan kelas pertengahan yang turut memerlukan sokongan kerajaan.

"Isu lain seperti jaringan Internet perlu juga diperluaskan dan dipermudahkan kerana kini ia merupakan perkara asas pada masa ini, lebih lagi ketika Sabah dan Sarawak berhasrat untuk menjadi sebuah negeri berstatus maju dan berkuasa ekonomi digital.

"Bermakna secara keseluruhannya, kerajaan Persekutuan perlu menggandakan bajet (peruntukan) kepada mereka, barulah sokongan ada impak," katanya.

-- BERNAMA