KUALA LUMPUR: Bagi mempercepatkan penggunaan rangkaian generasi kelima (5G) di negara ini, ia adalah masa yang sesuai untuk Bajet 2023 yang akan dibentangkan Jumaat ini, memberi tumpuan kepada teknologi berkaitan 5G dan insentif digital.

Pengerusi Persatuan Teknologi Kebangsaan Malaysia (PIKOM) Dr Sean Seah berkata 5G akhirnya akan meningkatkan banyak operasi dan perniagaan, justeru insentif itu penting bagi pemain sektor untuk menyertai dan mengguna pakai 5G.

"Pandemik dan pasca pandemik telah meningkatkan penggunaan digital dan teknologi, trend ini akan berterusan sepanjang tahun 2023. Sektor teknologi akan terus menjadi pemboleh bagi peruncitan, e-dagang, pelancongan, pembuatan pintar, pertanian pintar, penjagaan kesihatan dan perbankan apabila mereka terus bersedia untuk masa depan," katanya kepada Bernama.

Sean turut mencadangkan peruntukan dana khas kepada CyberSecurity Malaysia dalam bajet akan datang untuk memasukkan program meningkatkan kesedaran keselamatan siber dan melaksanakan amalan terbaik dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat bersaiz sederhana di negara ini.

Beliau berkata ia termasuk pensijilan dan langganan program amaran dan mitigasi keselamatan siber selain penambahbaikan untuk melabur dalam perisian keselamatan bagi memastikan keselamatan sistem teknologi, sistem perbankan dan data peribadi dilindungi dengan baik.

Digital Nasional Bhd (DNB), sebuah syarikat tujuan khas (SPV) milik kerajaan untuk membangunkan teknologi 5G, komited mempercepat jadual melancarkan liputan 5G kepada 80 peratus kawasan berpenduduk menjelang 2024.

Pandangan Sean turut senada dengan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan, Universiti Monash Malaysia Dr Andrei Kwok, yang berkata Malaysia akan berupaya mempercepatkan keupayaan digitalnya dan memberi insentif kepada 5G membolehkan negara mengejar penggunaan teknologi baharu muncul seperti Internet benda (IoT) dan pengkomputeran awan.

Beliau berkata insentif itu juga boleh menarik pelaburan asing di samping menyokong pendigitalan industri tempatan dan membangunkan keupayaan inovasi untuk mendapat kelebihan daya saing.

"Tambahan pula ia boleh meningkatkan kemasukan sosial dengan menyediakan akses penduduk kepada teknologi di seluruh negara. Sebaliknya, pembangunan bandar pintar sangat bergantung kepada kesalinghubungan yang lebih cepat dan lancar," katanya.

Sementara itu, Profesor Adjung Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Profesor Dr Tharek Abd Rahman berkata tahun depan pengendali rangkaian mudah alih akan mula menawarkan perkhidmatan 5G dan rangkaian semasa 4G akan bertambah baik dari segi kualiti dan liputan.

Pakar telekomunikasi itu berkata sasaran bagi Jalinan Digital Negara (JENDELA) fasa dua adalah untuk mempunyai 100 peratus liputan 4G di seluruh negara di kawasan berpenduduk bermula 2023.

Pengenalan 5G boleh menyediakan produktiviti dan pertumbuhan ekonomi. Antara manfaat 5G ialah menyokong pengenalan perkhidmatan baharu dalam penjagaan kesihatan digital, pembuatan, automotif, pertanian dan seterusnya telefon pintar," katanya.

Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) 500 lokasi 5G telah siap di bawah fasa 1A setakat Disember 2021, meliputi kawasan Cyberjaya, Putrajaya dan Kuala Lumpur manakala fasa 1B akan menyaksikan pelancaran 3,518 tapak 5G menjelang akhir tahun ini.

Mengulas mengenai fenomena perbankan digital, Ketua Sekolah Perniagaan, Universiti Monash Malaysia Prof Dr Nafis Alam berkata dengan pelaksanaan 5G dan perbankan digital tahun depan, dorongan automasi dan pendigitalan dalam sektor PKS akan memberi kelebihan kepada sektor teknologi.

Beliau menambah bahawa penglibatan digital dan teknologi blok rantai mungkin akan memacu usaha untuk pulih daripada pandemik kerana syarikat dan kerajaan akan terus mengepam pelaburan dalam sektor teknologi.

"Dengan beberapa cabaran dalam cip dan teknologi, pengeluaran sebahagian disebabkan gangguan dalam rantaian bekalan juga merupakan peluang bagi ekonomi baharu muncul untuk memulakan beberapa hab pengeluaran. Ini akan meningkatkan lagi permintaan dan penawaran dalam sektor teknologi. Ia akan menjadi tahun yang lebih baik bagi sektor teknologi pada 2023," katanya.

-- BERNAMA