Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini menepis dakwaan bahawa bajet negeri yang dibentangkan beliau pada 17 Nov lepas bersifat 'syok sendiri', jauh sekali merekodkan defisit.

Ketika menegaskan demikian sewaktu ucapan penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, Mohamed Khaled berkata bajet itu sememangnya mempunyai lebihan meskipun belum termasuk pembentangan peruntukan tambahan.

"Perkara paling mudah untuk mengesahkan sama ada bajet kita defisit atau lebihan adalah dengan menyemak dan melihat laporan Ketua Audit Negara, yang mana jika dibandingkan antara laporan itu dan pengiraan sendiri oleh Pengkalan Rinting, wujud perbezaan yang jelas.

"Jadi, berpeganglah kepada Laporan Ketua Audit Negara. Ia tentunya rekod rasmi yang sah dan diperakui melainkan pembangkang beranggapan Ketua Audit Negara juga bersekongkol dengan kerajaan negeri untuk memutarbelitkan laporan Audit Negara," katanya.

Mohamed Khaled mengulas dakwaan Cheo Yee How (DAP-Pengkalan Rinting) yang mengatakan Bajet Johor 2017 adalah bajet 'syok sendiri' kerana merekodkan defisit setelah ditambah dengan peruntukan tambahan.

Mohamed Khaled berkata beliau tidak hairan dengan dakwaan Cheo itu memandangkan Cheo pernah mengkritik bajet negeri pada 2014 dengan mengatakan ia juga mengalami defisit sebanyak RM129,407.

"Tetapi, Laporan Ketua Audit Negara memperakui Johor mempunyai lebihan RM359.4 juta.

"Pada 2015 pula, ADUN Pengkalan Rinting sekali lagi mendakwa kita mempunyai defisit RM200,719 sedangkan Laporan Ketua Audit Negara memperakui Johor mempunyai lebihan sebanyak RM153.8 juta," katanya.

Bajet Johor 2017 bertemakan 'Johor Berkemajuan, Rakyat Sejahtera' itu memperuntukkan RM1.609 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan bagi menjadikan negeri itu kuasa ekonomi baharu di tanah air dan Asia Tenggara. -- Bernama