JOHOR BAHRU: Pendirian Barisan Nasional (BN) Johor bertanding solo pada pilihan raya akan datang adalah wajar bagi memastikan kestabilan politik dan meneruskan kesinambungan pembangunan negeri.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi berkata, langkah itu bukanlah didorong sikap sombong atau tamak sebaliknya ia tekad pimpinan dalam menyempurnakan agenda 'Maju Johor 2030' yang berbaki empat tahun lagi.
"Johor turut terpalit politik tidak stabil di peringkat pusat selepas Pilihan Raya Umum 2018.
"Perdana Menteri bertukar sebanyak tiga kali dalam tempoh satu penggal dan ia turut berlaku di Johor yang mana menteri besar juga bertukar sebanyak tiga kali.
"Ketidakstabilan itu memberi kesan kepada ekonomi negeri," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurut beliau, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dilihat berjaya memanfaatkan mandat rakyat yang diperoleh pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2022.
Tambah Mohd Puad, kemampuan Onn Hafiz dalam mengurus hubungan baik dengan kerajaan Persekutuan berjaya memperkukuh kedudukan ekonomi negeri.
"Hasil negeri Johor meningkat kepada RM2.1 bilion pada tahun 2024 meningkat lagi kepada RM 2.67 Bilion pada 2025.
"Malah, negeri Johor menerima pelaburan yang tertinggi di Malaysia.
BN Johor pada Sabtu mengesahkan akan bertanding di semua 56 kerusi DUN pada PRN yang dijangka tidak lama lagi.
Perkembangan itu diumumkan Onn Hafiz selaku Pengerusi BN Johor menerusi satu hantaran di Facebook rasminya. - Sinar Harian