KUALA LUMPUR: Sistem perbankan Malaysia masih mampu menyampaikan prestasi yang berdaya tahan pada tahun akan datang walaupun wujud ketidaktentuan dalam persekitaran global dan domestik, menurut RAM Ratings.

Pakar sektor perbankan RAM, Amy Lo berkata permodalan serta peruntukan penampan yang kukuh telah meletakkan bank-bank dalam kedudukan yang baik untuk menghadapi badai makroekonomi yang terbit daripada impak perang Rusia-Ukraine.

"Kami menjangkakan sebahagian besar penarafan bank akan kekal utuh dalam tempoh 12 bulan akan datang.

"Sebarang respons penarafan mungkin akan dicetuskan oleh cabaran khusus ke atas bank berkenaan tetapi bukan didasarkan kepada kebimbangan industri yang luas," katanya semasa siri webminar RAM Insight yang bertajuk 'Sektor Perbankan: Bersedia untuk Cabaran Seterusnya' pada Selasa.

Agensi itu menjangkakan pertumbuhan pinjaman akan datang bakal merekodkan paras 4.5 peratus hingga 5.0 peratus pada 2022 (2021: +4.5 peratus), didorong oleh pinjaman isi rumah dan perniagaan.

"Permohonan pinjaman mula meningkat pada suku keempat 2021, disokong oleh lonjakan dalam permintaan termasuk pembukaan semula ekonomi," katanya.

Lo berkata dua kenaikan kadar dasar semalaman 25 mata asas (bps) oleh Bank Negara Malaysia baru-baru ini dan kenaikan 25 bps lagi yang dijangkakan pada separuh kedua 2022 mungkin menjejaskan permintaan kredit tetapi tidak akan memberi kesan ke atas momentum pertumbuhan pinjaman.

Selain itu, Lo menjelaskan pendedahan bank kepada bantuan pinjaman menurun secara mendadak kepada sekitar lapan peratus pada akhir April hingga pertengahan Mei 2022 berbanding 28 peratus yang direkodkan semasa hujung Disember 2021.

"Pinjaman yang terjejas pasti akan menokok apabila langkah-langkah bantuan dilancarkan, di samping kenaikan inflasi dan kadar faedah yang boleh menggugat keupayaan peminjam tertentu yang sangat berleveraj.

"Nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) sistem perbankan boleh naik kepada 2.2 peratus menjelang akhir tahun (hujung Mei 2022: 1.64 peratus)," katanya.

Sementara itu, Ahli Ekonomi Kanan RAM dan Ketua Penyelidikan Ekonomi Woon Khai Jhek berkata pemulihan ekonomi akan melangkah ke arah yang lebih baik pada tahun ini apabila negara mula beralih ke fasa endemik.

"Permintaan domestik menjadi pemacu utama, disokong oleh pasaran buruh yang berdaya tahan selain langkah-langkah sokongan dasar yang berterusan, manakala eksport juga akan kekal mantap dengan permintaan bagi barangan elektrik dan elektronik.

"Momentum kukuh pada 2022 dijangka mendorong pertumbuhan tahun penuh kepada 5.8 peratus daripada 3.1 peratus pada 2021," katanya.

Bagaimanapun, Woon menambah risiko penurunan telah menjadi lebih ketara disebabkan lonjakan dalam inflasi telah memberi kesan kepada pertumbuhan global, mengehadkan potensi kenaikan kepada pemulihan ekonomi Malaysia.

-- BERNAMA