SHAH ALAM: Polis memohon kerjasama pihak bank supaya mengambil langkah mempertingkatkan sistem keselamatan perbankan dalam talian yang ditawarkan kepada orang ramai supaya ia tidak dapat digodam penjenayah siber susulan trend peningkatan jenayah penipuan dalam talian dan jenayah siber.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, kajian mendapati selain tahap kesedaran dan sikap mangsa sendiri, peningkatan kes turut berpunca daripada betapa mudahnya pihak scammer atau penipu membuka akaun individu untuk dijadikan keldai akaun.

"Ia termasuk dengan mudah mendaftarkan nama individu yang menjadi keldai di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kemudian membuka akaun bank atas nama syarikat atau perniagaan keldai tersebut.

"Akaun-akaun keldai ini kemudian digunakan untuk memindahkan puluhan, ratusan malahan jutaan ribu ringgit daripada akaun mangsa. Selain itu, terdapat juga penjenayah siber yang berjaya menggodam e-mel dan sistem perbankan Internet mangsa hingga pengeluaran wang daripada akaun mangsa dibuat tanpa pengetahuan mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Arjunaidi berkata jika terdapat permohonan penukaran nama pengguna (ID) melalui e-mel atau lain-lain perubahan dalam urusan perbankan Internet yang mencurigakan, pihak bank perlu menyemak semula dengan pemilik akaun individu atau syarikat untuk pengesahan.

"Pihak bank juga perlu mewujudkan satu sistem semak dan imbang yang lebih ketat bagi semua urusan perbankan Internet atau perbankan elektronik (e-banking) bagi mengelak akaun-akaun keldai digunakan secara berleluasa oleh penjenayah untuk memindahkan wang hasil perbuatan jenayah," katanya.

Beliau memaklumkan sepanjang tempoh dua bulan pertama tahun ini sebanyak 405 kertas siasatan berkaitan jenayah penipuan dalam talian dan jenayah siber dibuka membabitkan jumlah kerugian RM33.7 juta.

"Apa yang membimbangkan, terdapat mangsa dan syarikat perniagaan mengalami kerugian ratusan malah jutaan ribu ringgit akibat ditipu oleh scammer secara dalam talian, e-mel atau butiran perbankan dalam talian mereka digodam oleh penjenayah siber," katanya.

-- BERNAMA