Skip to main content

Dunia

Era AS subsidi pertahanan "negara kaya" sudah berakhir, kata Hegseth

U.S. Secretary of Defense Pete Hegseth speaks at the IISS Shangri-La Dialogue security summit in Singapore, May 30, 2026. REUTERS/Edgar Su
Hegseth beri amaran bahawa negara yang tidak bersedia untuk meningkatkan sumbangan mereka mungkin berdepan perubahan dalam hubungan diplomatik dengan Washington. - Gambar Reuters

ANKARA: Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Pete Hegseth pada Jumaat menyatakan bahawa sekutu kaya AS mesti memikul sebahagian besar tanggungjawab pertahanan, sambil mengisytiharkan bahawa Washington tidak akan lagi memberi subsidi kepada keselamatan mereka, lapor Agensi Anadolu.

Berucap di Dialog Shangri-La 2026 di Singapura, Hegseth berkata, AS sedang melaksanakan model pakatan baharu yang berteraskan perkongsian bebanan dan berdikari dalam kalangan negara rakan kongsi.

“Era Amerika Syarikat memberi subsidi kepada pertahanan negara kaya sudah berakhir. Kami mahukan rakan kongsi, bukan protektorat,” kata Hegseth.

Beliau menyifatkan pendekatan tersebut sebagai peralihan ke arah “tanggungjawab bersama, bukan kebergantungan”, dengan berhujah bahawa pakatan ketenteraan perlu berkembang bagi menghadapi cabaran keselamatan masa hadapan.

Hegseth berkata, Presiden Donald Trump telah menegaskan dengan jelas bahawa pakatan hanya akan berfungsi apabila semua ahli menyumbang secara bermakna kepada pertahanan kolektif.

“Ia adalah jalan dua hala,” katanya. 

“Anda tidak akan mempunyai pakatan yang kuat melainkan semua pihak terlibat dan mengambil risiko bersama.”

Menurut Hegseth, pentadbiran AS berasa gembira dengan komitmen pertahanan yang telah dizahirkan oleh beberapa rakan kongsi Indo-Pasifik, termasuk Jepun, Korea Selatan, Australia, India, Singapura, Malaysia, Thailand, Vietnam dan Filipina.

“Di rantau ini, saya optimis bahawa sekutu kami ... akan tampil dan mengambil langkah yang nyata. Malah, kita sudah pun melihat kemajuan,” katanya.

Hegseth turut memberi amaran bahawa negara yang tidak bersedia untuk meningkatkan sumbangan mereka mungkin berdepan perubahan dalam hubungan diplomatik dengan Washington.

“Sekutu yang enggan tampil ke hadapan dan memikul tanggungjawab sendiri untuk pertahanan kolektif kita akan menghadapi perubahan yang jelas dalam cara kami menjalankan urusan,” katanya.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video

Advertisement