KUALA LUMPUR:Ekonomi Malaysia dijangka tumbuh 6.7 peratus pada tahun 2021 susulan unjuran penurunan 5.8 peratus pada 2020 akibat kesan pandemik COVID-19, demikian pendedahan Bank Dunia dalam Laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia bertajuk 'Sowing the Seeds' yang dilancarkan hari ini.

Laporan itu menyebut, kejayaan pencegahan gelombang ketiga COVID-19 dan pengedaran vaksin menyebabkan pemulihan permintaan pengguna yang lebih cepat, keyakinan tinggi pelabur dan pemulihan yang aktiviti ekonomi domestik pada tahun 2021.

Tanda-tanda pemulihan ekonomi Malaysia memastikan negara mencatatkan penurunan lebih kecil iaitu 2.7 peratus pada suku ketiga 2020 berbanding 17.1 peratus suku kedua pada 2020.

Langkah-langkah fiskal seperti pemindahan wang tunai dan subsidi upah telah meningkatkan perbelanjaan isi rumah, iaitu penyusutan 2.1 peratus pada suku ketiga 2020 berbanding 18.5 peratus pada suku kedua 2020.

"Bagaimanapun, peningkatan kes COVID-19 baru-baru ini dan kawalan pergerakan yang dilakukan semula boleh melambatkan pemulihan disebabkan oleh ketidakpastian mengenai penggunaan vaksin yang berkesan dan pengukuhan pemulihan ekonomi global yang akan mempengaruhi kadar pemulihan ekonomi negara," kata laporan itu. 

Laporan itu juga menjangkakan Malaysia akan kembali kepada trend sebelum pandemik COVID-19 pada masa akan datang.

"Oleh kerana risiko kesihatan berkurang dan ekonomi terus pulih, tumpuan secara beransur-ansur perlu dilakukan kepada dasar jangka pendek dengan melakukan penyesuaian keadaan ekonomi baharu selepas pandemik," ujar laporan lagi.





Pada masa sama, krisis COVID-19 turut memastikan Malaysia memberi perhatian kepada sistem makanan negara dan keselamatan makanan.

Laporan itu juga menumpukan kepada sektor pertanian termasuk kepentingan sektor agro makanan moden dan transformasi ekonomi makanan yang dinamik.

"Peralihan teknologi akan mewujudkan peluang pembangunan negara dan meningkatkan kesejahteraan rakyat," kata laporan.