KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB) menyusut kepada RM101.63 juta untuk suku ketiga berakhir 30 Sept 2021 berbanding RM102.25 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada 2020 susulan perbelanjaan cukai yang lebih tinggi.

Keuntungan sebelum zakat dan cukai meningkat 11.3 peratus dari tahun ke tahun kepada RM152.84 juta berikutan elaun bersih yang lebih rendah bagi rosot nilai pembiayaan serta pendahuluan sebanyak RM34 juta daripada RM155.5 juta setahun sebelumnya.

"Elaun yang lebih rendah bagi rosot nilai ke atas pembiayaan dan pendahuluan adalah disebabkan oleh kemerosotan kualiti aset yang sederhana, akibat daripada pelbagai usaha kumpulan untuk membantu pelanggan dalam masa yang mencabar seperti bantuan pembayaran balik PEMULIH, bantuan bersasar dan pemberian moratorium automatik kepada pelanggan yang terjejas," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Sementara itu, hasil bagi suku tersebut jatuh kepada RM746.22 juta daripada RM876.09 juta.

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 Sept 2021, keuntungan bersih BIMB meningkat kepada RM454.67 juta berbanding RM387.74 juta yang direkodkan dalam tempoh yang sama tahun lepas, manakala hasil berkurangan kepada RM2.35 bilion daripada RM2.58 bilion sebelumnya.

Menurut BIMB, keuntungan sebelum zakat dan cukai (PBZT) bagi tempoh itu bertambah sebanyak 19.3 peratus dari tahun ke tahun kepada RM627.8 juta disebabkan oleh penyusutan elaun bersih bagi rosot nilai ke atas pembiayaan dan pendahuluan.

Elaun bersih yang dikenakan untuk rosot nilai ke atas pembiayaan dan pendahuluan berjumlah RM79.6 juta adalah lebih rendah sebanyak RM132.7 juta berbanding RM212.2 juta yang dikenakan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

"Peruntukan rosot nilai pra-emptif yang lebih tinggi telah dibuat dalam lapisan pengurusan bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya dalam jangkaan keadaan ekonomi yang semakin teruk akibat pandemik COVID-19.

"Prestasi ini diterjemahkan kepada pendapatan sesaham kumpulan sebanyak 17.71 sen dan pulangan tahunan ke atas ekuiti berjumlah 9.4 peratus (selepas cukai dan zakat)," katanya.

Bagi tempoh sembilan bulan, BIMB mengisytiharkan pembayaran dividen interim sebanyak RM226.9 juta atau 10.93 sen sesaham dan pelan pelaburan semula dividen dibuat untuk keseluruhan dividen interim.

Bank itu ketika mengulas mengenai jumlah aset kumpulan berkata ia menokok dari tahun ke tahun sebanyak 9.8 peratus kepada RM76.3 bilion menjelang 30 Sept 2021, manakala aset bersih sesaham berada pada RM3.13.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BIMB, Mohd Muazzam Mohamed ketika bercakap mengenai prospek berkata, risiko terhadap kestabilan kewangan agak terkawal.

Tambahan pula, pihak bank telah membuat elaun terdahulu yang munasabah pada tahun kewangan 2020 dan risiko kredit adalah mencukupi di pasaran, katanya.

"2022 akan menjadi tahun yang kritikal bagi Malaysia, bukan sahaja daripada perspektif pemulihan ekonomi tetapi juga kebangkitan semula industri, mata pencarian dan pekerjaan terutamanya kepada mereka yang paling terjejas oleh wabak ini.

"Sebagai bank yang mengutamakan kesejahteraan untuk semua dengan menyediakan penyelesaian yang memberikan nilai kepada pemegang kepentingan kami, BIMB kini sedang memulakan pelan strategik perniagaan lima tahunnya (LEAP25).

"Misi ini adalah bagi menentukan masa depan kumpulan dalam menjadi juara penyelesaian pembiayaan keseluruhan membabitkan alam sekitar, sosial dan tadbir urus Syariah dengan kepimpinan perbankan digital serta kewangan sosial,'' katanya. - BERNAMA