KUALA LUMPUR: Kitaran kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) Bank Negara Malaysia (BNM) telah mencecah titik noktahnya dan bank pusat dijangka mengekalkan OPR pada 3.0 peratus bagi tempoh berbaki 2023, kata BMI.

Firma penyelidikan itu yang merupakan unit Fitch Solutions berkata BNM akan mula menumpukan fokusnya untuk menyokong pertumbuhan pada bulan-bulan akan datang ketika inflasi negara terus menyederhana.

"Pandangan ini disokong oleh kenyataan yang dikeluarkan oleh bank pusat yang menyatakan pendirian dasar monetari ketika ini akomodatif dan terus menyokong ekonomi,” kata BMI dalam satu nota penyelidikan hari ini.

BMI juga menjangka bank pusat akan mengekalkan kadar dasarnya pada mesyuarat seterusnya pada Julai atas dua sebab.

Pertama, inflasi keseluruhan terus berkurangan kepada 3.4 peratus tahun ke tahun pada Mac daripada 3.7 peratus pada Februari, yang merupakan kadar paling perlahan dalam tempoh sembilan bulan.

Kedua, BMI menjangka ringgit terus diniagakan dalam jajaran kecil pada bulan-bulan akan datang yang bermakna volatiliti mata wang tidak akan menjadi kebimbangan utama kepada BNM.

“Susulan mesyuarat terbaharu Rizab Persekutuan AS (Fed) pada 3 Mei, kami menjangkakan Kadar Dana Fed hanya akan dinaikkan sedikit ke paras tertinggi 5.50 peratus pada separuh pertama 2023, daripada 5.25 peratus pada masa ini.

“Walaupun sekiranya BNM mengekalkan kadar bagi tempoh berbaki 2023, ia tidak dijangka mencetuskan aliran keluar portfolio yang ketara kerana pencapahan dalam perbezaan kadar faedah adalah kecil,” kata BMI, sambil menambah inflasi keseluruhan diunjur menyederhana kepada 2.5 peratus pada akhir 2023, menjadikan inflasi purata pada 2.9 peratus pada 2023 berbanding 3.4 peratus pada 2022,” katanya.

Sementara itu, BMI menjangkakan pertumbuhan ekonomi yang sederhana pada suku-suku akan datang kepada 4.8 peratus pada suku pertama 2023 dan 4.0 peratus pada suku kedua daripada 7.0 peratus pada suku terakhir 2022, dan ini akan berada di bawah purata prapandemik pada 4.6 peratus yang direkodkan antara 2018 dan 2019.

“Kami menjangkakan permintaan terpendam akan berkurangan dan kelembapan dalam permintaan luar merentas seluruh bahagian ekonomi.

“Dalam penyata dasar monetarinya, BNM juga berpandangan bahawa eksport dijangka menyederhana,” kata firma penyelidikan itu.