Sekurang-kurangnya 13 foto dikeluarkan dan satu dikembalikan dalam fail Epstein oleh DOJ

Foto berkenaan menunjukkan sebuah meja dengan laci terbuka yang mengandungi gambar Trump bersama beberapa wanita. - Foto AP
WASHINGTON: Sekurang-kurangnya 13 keping foto telah dikeluarkan daripada laman web rasmi Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) yang memuat naik dokumen berkaitan kes Jeffrey Epstein, hanya sehari selepas ia diterbitkan kepada umum.
Namun, satu foto yang memaparkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, telah dikembalikan pada Ahad selepas siasatan mendapati tiada mangsa Epstein terlibat dalam imej tersebut.
Foto berkenaan menunjukkan sebuah meja dengan laci terbuka yang mengandungi gambar Trump bersama beberapa wanita.
Ia pada awalnya ditandakan untuk semakan oleh Pejabat Peguam Daerah Selatan New York bagi melindungi potensi mangsa.
“Selepas semakan, didapati tiada bukti bahawa mana-mana mangsa Epstein digambarkan dalam foto tersebut, dan ia telah dimuat naik semula tanpa sebarang pengubahsuaian atau penyuntingan,” kata Jabatan Kehakiman dalam kenyataan di platform X pada Ahad.
Timbalan Peguam Negara, Todd Blanche, menjelaskan bahawa pejabatnya menarik balik foto itu kerana kebimbangan terhadap wanita yang muncul dalam imej tersebut.
“Ia tiada kaitan dengan Presiden Trump,” katanya dalam program Meet the Press with Kristen Welker di NBC.
Jabatan Kehakiman telah menerbitkan ribuan dokumen pada Jumaat berkaitan Epstein, seorang pesalah seks yang disabitkan kesalahan dan meninggal dunia dalam tahanan pada 2019.
Namun, pendedahan itu menerima kritikan, termasuk daripada beberapa ahli politik Republikan, yang mempersoalkan banyaknya penyuntingan serta kekurangan dokumen yang menyebut nama Trump walaupun hubungan rapat mereka diketahui umum.
Dalam satu temu bual bersama ABC News pada Ahad, Ketua Minoriti Dewan Perwakilan dari Parti Demokrat, Hakeem Jeffries, menggesa agar siasatan penuh dan menyeluruh dijalankan bagi menjelaskan mengapa pengeluaran dokumen itu tidak memenuhi kehendak undang-undang.
Menurut laporan The New York Times, NPR dan Associated Press, sehingga 16 foto telah dikeluarkan dari laman web DOJ pada Sabtu, termasuk gambar laci meja yang mengandungi foto Trump.
Bagaimanapun, Reuters tidak dapat mengesahkan secara bebas penarikan tersebut.
DOJ menyatakan bahawa tindakan mereka dibuat atas dasar berhati-hati selepas menerima permintaan daripada mangsa dan peguam mereka untuk menilai semula kandungan yang berpotensi sensitif.
Trump tidak pernah didakwa atas sebarang kesalahan berkaitan Epstein dan menafikan mengetahui tentang jenayah yang dilakukan oleh hartawan tersebut
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


