KUALA LUMPUR:Kalangan pakar dan penggiat sektor penjagaan kesihatan berharap kerajaan akan menyusun semula sistem berkenaan khususnya hospital awam bagi mengelak perbelanjaan berlebihan selain meningkatkan penglibatan sektor swasta bagi perkhidmatan tertentu.

Ketika berkongsi harapan terhadap sektor itu dalam Belanjawan 2021 yang dijadual dibentangkan pada 6 November ini, mereka juga menyarankan supaya kerajaan memperkenalkan lebih banyak insentif untuk membantu penggiat industri tersebut.

Pengarah Urusan penyedia khidmat penyimpanan sel stem CryoCord Sdn Bhd, James Then berkata ini termasuk langkah penyumberan luar bagi perkhidmatan kompetitif tertentu seperti ujian darah yang boleh melibatkan sektor swasta.

"Langkah penyumberan luar perkhidmatan di bawah Kementerian Kesihatan misalnya dapat membantu kerajaan mengurangkan kos berkaitan selain dapat menggalakkan keberkesanan industri," katanya menerusi webinar bertajuk "Transforming Malaysia's Healthcare through Innovation and Disruptive Technology" anjuran Cyberview Sdn Bhd di sini, hari ini.

Then juga menjangkakan kerajaan akan meningkatkan peruntukan bagi sektor itu sebanyak kira-kira dua peratus daripada RM30.6 bilion dalam belanjawan sebelum ini.

Sambil mengakui angka itu tidak mencukupi, beliau juga percaya kerajaan dapat mengurangkan perbelanjaan bagi sistem penjagaan kesihatan menerusi langkah penyumberan luar.

Menyentuh insentif untuk penggiat penjagaan kesihatan, beliau berkata ini tidak semestinya tunai tetapi dalam bentuk bayaran subsidi atau sewaan.

Ini berikutan usaha seperti ujian klinikal yang agak mahal iaitu kira-kira RM5 juta hingga RM30 juta bagi satu-satu percubaan.

Justeru, katanya, kerajaan dapat membantu penggiat industri dengan membenarkan mereka untuk turut menggunakan fasiliti hospital bagi menjalankan ujian klinikal pada bayaran yang minimum.

Dalam pada itu, pandangan beliau turut dikongsi oleh Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif aplikasi penjejakan kesihatan VITA, Dr Ian Ng yang berpendapat kerajaan wajar meneliti peranan sektor swasta bagi menggalakkan pertumbuhan sektor yang disifatkannya lebih efisyen dari segi modal.

Pada masa ini, katanya, kalangan penyedia khidmat swasta itu agak sukar untuk menyertai ekosistem kerajaan.

"Kerajaan boleh meneliti apa yang sudah ada di pasaran. Terdapat banyak penyelesaian yang dapat diintegrasi secara lebih pantas dan baik berbanding sistem sekarang," katanya.

Sementara itu, mengulas pembangunan penjagaan kesihatan pintar Malaysia, Dekan Perniagaan dan Teknologi Universiti Cyberjaya Profesor Dr Mudiarasan Kuppusamy memuji aplikasi MySejahtera yang membantu dalam pengurusan menangani penularan COVID-19 di negara ini.

Beliau bagaimanapun berpendapat, perlu wujud hala tuju jelas mengenai aspek selepas penggunaan aplikasi itu seperti isu etika berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) atau privasi data yang dibimbangkan oleh kalangan rakyat.

Namun, beliau yakin aplikasi MySejahtera berpotensi besar untuk menjadi mekanisme tahap seterusnya yang membolehkan kerajaan lebih memahami keadaan kesihatan rakyat negara ini.

Mengenai prospek pembangunan penjagaan kesihatan pintar Malaysia, Dr Mudiarasan berkata lebih banyak tumpuan perlu diberi terhadap sokongan di peringkat bawahan bagi memastikannya turut membabitkan masyarakat pedalaman dan bandar.

"Kerajaan juga boleh mengurangkan kos perkhidmatan perubatan menerusi penggunaan teknologi pintar bagi meningkatkan kecekapan dalam jangka panjang kerana ini turut menyentuh aspek kos untuk pesakit," katanya.

-- BERNAMA