Dua anak CEO GISB didakwa kurung pekerja di asrama selama sebulan

Muhammad Suhaiil Nasiruddin, 42, (kiri) dan Muhammad U’rwah Nasiruddin, 33, (belakang) hadir di Mahkamah Majistret Manjung hari ini. - Bernama
MANJUNG: Dua ahli GISB Holdings Sdn Bhd (GISB) didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mengurung seorang lelaki di sebuah asrama pekerja di Seri Manjung, lima tahun lepas.
Ringkasan AI
- Dua anak kepada Ketua Pegawai Eksekutif GISB Holdings, Muhammad Suhaiil Nasiruddin dan Muhammad U'rwah Nasiruddin, didakwa atas pertuduhan mengurung seorang lelaki selama sebulan di asrama pekerja pasar raya Ikhwan, Seri Manjung, pada tahun 2020.
- Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 344 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda; kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah dan dibenarkan jaminan RM3,000 setiap seorang.
- Mahkamah menetapkan 17 Disember untuk sebutan semula kes, manakala permohonan jaminan dipertimbangkan berdasarkan latar belakang keluarga dan tanggungan anak yang ramai bagi kedua-dua tertuduh.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 344 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nuranisah Ismah Muhammad Husaini yang mengendalikan pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 bagi setiap tertuduh.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Nur Shaqira Ibrahim yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jaminan lebih rendah atas alasan mereka sudah berkahwin, bekerja sendiri, tiada pendapatan tetap serta masing-masing mempunyai 10 dan 14 orang anak.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM3,000 serta seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan menetapkan 17 Dis ini untuk sebutan semula kes.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


