KUALA LUMPUR:Belanjawan 2021 Malaysia, belanjawan pengembangan yang menyasarkan untuk memulihkan ekonomi, dan dengan penyertaannya dalam Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), menempatkan negara dalam kedudukan strategik untuk menarik lebih banyak pelaburan asing, kata pakar ekonomi.

Mereka yakin Malaysia, yang telah dilihat oleh pelabur asing sebagai destinasi pelaburan yang cemerlang berikutan mudah untuk menjalankan perniagaan, mengukuhkan kelebihan daya saingnya dalam pasaran serantau.

Ketua Strategi Pasaran Global Axi Stephen Innes berkata kerajaan telah memberikan komitmennya untuk memacu ekonomi negara selain melindungi kesejahteraan melalui pelbagai langkah dalam Belanjawan 2021, dengan banyak insentif untuk penjagaan kesihatan dan mewujudkan pekerjaan.

Beliau berkata tahun ini amat mencabar berikutan ramai yang kehilangan pekerjaan. Kerajaan perlu menggunakan peruntukan, mungkin lebih banyak daripada sebelumnya selain mencapai keseimbangan antara menghadapi terlalu banyak hutang dan meliputi masyarakat tetapi ini membawa kepada kenaikan ringgit dan aliran dana mula kembali ke negara ini.

Bagi RCEP, katanya pemansuhan tarif ke atas eksport produk pembuatan memberi kelebihan berikutan ekonomi Malaysia yang terbuka akan terus ditingkatkan oleh kemudahan perdagangan bebas.

Aspek yang menarik bagi Malaysia ialah kedudukan geografinya, yang memberi banyak kelebihan.

"Saya berpendapat Malaysia berada di kedudukan yang unik untuk menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) berikutan syarikat asing merancang untuk memindahkan operasi mereka dari China (berikutan perang perdagangan)," katanya kepada Bernama, sambil menambah ekonomi China yang kukuh dan berita baik mengenai vaksin turut membantu memacu sentimen.

Sementara itu, Profesor Kanan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaysia Sarawak Datuk Shazali Abu Mansor, berkata Program Jaringan Prihatin dan Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) yang diperkenalkan di bawah Belanjawan 2021 akan mendorong infrastruktur digital Malaysia.

Beliau juga berkata Malaysia bernasib baik kerana mempunyai tenaga kerja berkemahiran tinggi dan profesional untuk bersaing dengan negara serantau lain dalam menarik FDI, dan pakej insentif bernilai RM1 bilion untuk teknologi dengan nilai tambah tinggi dalam Belanjawan 2021 melengkapkan keseluruhan ekosistem.

"Sebuah negara dengan infrastruktur yang baik, dasar fiskal kerajaan yang berhemat, persekitaran mudah untuk menjalankan perniagaan dan tenaga kerja berkemahiran tinggi antara komponen utama yang akan dilihat oleh pelabur dalam memilih destinasi pelaburan mereka.

"Sebagai negara yang pesat membangun, Malaysia masih bergantung kepada pelabur asing untuk pembangunan pertumbuhan jangka sederhana hingga panjang dan saya berpandangan Belanjawan 2021 benar-benar mencerminkan imej kita -- sebuah negara yang berusaha untuk memperoleh pelaburan asing," katanya.

Pada Oktober 2019, 'Doing Business 2020 Report' oleh Bank Dunia meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-12 dalam kalangan 190 ekonomi dari seluruh dunia, satu peningkatan daripada kedudukan ke-15 pada tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, Shazali dan Innes berpendapat percukaian di bawah belanjawan itu perlu lebih menggalakkan untuk menarik lebih banyak perniagaan menerusi FDI.

Ini memandangkan landskap ekonomi global menjadi semakin lebih kompetitif dalam situasi ekonomi semasa berikutan pandemik COVID-19, menurut mereka.

"Berbanding dengan negara jiran, Singapura, contohnya, ia menawarkan konsesi cukai yang besar untuk menarik pemindahan perniagaan.

"Jadi, kerajaan mungkin perlu menawarkan lebih banyak pengurangan cukai korporat," menurut Innes.

Shazali pula berkata kerajaan seharusnya meneliti perspektif jangka panjang, khususnya kesan limpahan yang diwujudkan syarikat multinasional apabila mereka memindahkan perniagaan ke Malaysia, seperti penciptaan pekerjaan, peluang perniagaan, pengangkutan, makanan, akomodasi dan lain-lain.

"Kita tidak berada di pihak yang mengalami kerugian, ia merupakan perjalanan yang panjang dan Malaysia akan meraih manfaat besar sekiranya kerajaan mengurangkan sedikit cukai," katanya.

Kerajaan telah menawarkan kadar cukai khas menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) untuk syarikat pembuatan tertentu yang memindahkan perniagaan mereka ke Malaysia dan membawa masuk pelaburan baharu.

Menerusi Belanjawan 2021, kerajaan turut bercadang melanjutkan permohonan insentif itu sehingga 31 Dis, 2022 manakala skop insentif cukai juga diperluaskan kepada syarikat dalam sektor perkhidmatan tertentu yang mewujudkan kesan pengganda ketara dengan menyediakan kadar cukai pendapatan sifar hingga 10 peratus bagi tempoh 10 tahun.

-- BERNAMA