Bacaan kedua RUU Mufti Wilayah Persekutuan dijangka pada sesi akan datang

Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan sedang melaksanakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan bagi memastikan kefahaman dan objektif RUU berkenaan. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Bacaan kali kedua Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 dijangka dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang bagi memberi laluan kepada sesi libat urus yang masih dijalankan pada masa ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan sedang melaksanakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan bagi memastikan kefahaman dan objektif RUU berkenaan.
"Kita dah tengok di Parlimen, banyak RUU penting yang akan dibentangkan kali ini. Jadi sementara Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan membuat libat urus dengan pihak berkepentingan yang lain ... kita beri laluan dulu kepada RUU yang lain.
"Untuk bacaan kedua tidak dibentangkan kali ini dan kita akan bawa pada sesi akan datang," katanya selepas merasmikan Konvensyen Nasional MADANI: Penjagaan Spiritual Islam 2025 di Masjid Wilayah Persekutuan, hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.
NA'IM-RUU 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR
Pada 29 Ogos lepas, media melaporkan perbahasan untuk meluluskan RUU berkenaan ditangguhkan buat kali keempat sejak ia dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Julai tahun lepas.
RUU itu antara lain bertujuan mengadakan peruntukan bagi perkara yang berhubung dengan mufti serta penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin syarak.
Ia turut memperincikan fungsi dan peranan mufti dalam membantu dan menasihati Yang di-Pertuan Agong berkenaan dengan semua perkara hukum syarak, tatacara mengeluarkan fatwa, pendapat berhubung dengan hukum syarak di mahkamah serta penentuan arah kiblat.
Selain itu, RUU berkenaan memperincikan penubuhan Jawatankuasa Fatwa Wilayah-Wilayah Persekutuan, Jawatankuasa Falak Syarie, Jawatankuasa Rukyah Hilal, Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam dengan dipengerusikan mufti.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


