KUALA LUMPUR:Kerajaan perlu memperuntukkan RM31.4 bilion sebagai ‘perisai ekonomi COVID-19’, daripada keseluruhan dana bagi Belanjawan 2021, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Dalam satu kenyataan hari ini, bekas Menteri Kewangan itu berkata, peruntukan berkenaan, adalah khusus bagi menyelamatkan pekerjaan dan mata pencarian rakyat yang terjejas teruk akibat penularan pandemik itu.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, antara langkah yang boleh dilakukan dengan peruntukan sebesar itu ialah bantuan bulanan RM1,000, lanjutan moratorium pinjaman bank secara automatik selama enam bulan, dan insentif pengambilan untuk pekerja dan majikan.

“Bantuan kewangan untuk membantu sektor ekonomi negara dapat membantu menyusun belanjawan perpaduan yang menyatukan semua rakyat Malaysia.

“Penguncupan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) 17.1% pada suku kedua tahun ini, beserta kenyataan Menteri Sumber Manusia (Datuk Seri M Saravanan) bahawa 1 juta rakyat Malaysia dijangka menganggur menjelang September 2020, menunjukkan krisis ekonomi yang memberi kesan kepada rakyat Malaysia,” katanya lagi.

Guan Eng berkata, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin harus memulakan proses rundingan belanjawan dengan parti-parti pembangkang, bagi memenuhi aspirasi Yang di-Pertuan Agong untuk mengatasi peningkatan terbaharu jangkitan COVID-19, dan membantu ekonomi negara.

Katanya lagi, tiada pihak yang dapat mempertikaikan bahawa lebih banyak dana harus diperuntukkan untuk barisan hadapan negara, yang sedang memerangi gelombang ketiga pandemik itu.

Mengulas lanjut mengenai ‘perisai ekonomi’, Guan Eng berkata, ia perlu terdiri daripada serampang tiga mata.

“Pertama, perlu ada pelaksanaan segera kenaikan bantuan kebajikan bulanan daripada RM200-300 kepada RM1,000 seperti yang dijanjikan Perdana Menteri pada 30 Ogos 2020 di Sandakan. Ini akan menelan belanja RM12 bilion, dan menyediakan jaringan keselamatan segera bagi pekerja yang menganggur.

“Lanjutan moratorium pembayaran balik pinjaman bank selama 6 bulan pula, berjumlah RM6.4 bilion, dan akan membantu 8 juta individu dan syarikat di Malaysia,” katanya lagi.

Bagi insentif pengambilan pekerja pula, Guan Eng berkata, dana RM500 sebulan untuk pekerja dan RM300 sebulan kepada majikan akan mendorong syarikat mengambil pekerja tempatan seperti yang dicadangkan Pakatan Harapan dalam Belanjawan 2020.

Beliau berkata, pelebaran skim itu merangkumi 600,000 pekerja dan majikan di Malaysia, dan menelan belanja sebanyak RM13 bilion.

Langkah itu, jelasnya lagi, akan membantu 500,000 belia yang tidak mempunyai pekerjaan, dan tergolong dalam kadar pengangguran nasional yang kini berada pada parasa 4.9%.

“Untuk menyelamatkan ekonomi kita daripada kemelesetan, fokus kewangan negara harus beralih daripada mengawal tahap hutang dan defisit fiskal negara, kepada meminjam lebih banyak wang.

“Obsesi untuk mengawal defisit negara untuk melindungi penarafan kredit negara perlu memberi laluan kepada strategi meminjam lebih banyak wang demi menyelamatkan pekerjaan, perniagaan, dan mata pencarian rakyat Malaysia,” katanya lagi.