PERSEKUTUAN Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) berharap lebih banyak peruntukan dapat disalurkan kepada sukan tersebut yang menjadi antara prospek untuk memberikan kilauan emas di Sukan Olimpik Paris 2024.

Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abd Wahab berkata, sukan berbasikal mempunyai peluang melalui Datuk Azizulhasni Awang untuk cuba menamatkan penantian emas pertama di temasya sukan tersebut.

Justeru, beliau melihat bantuan lebih besar melalui Belanjawan 2023 kepada sukan berbasikal terutama kepada Azizulhasni amat penting dalam usaha untuk mempersiapkan pelumba kelahiran Terengganu itu merealisasikan misi tersebut.

“Kita harap daripada belanjawan itu sendiri, Majlis Sukan Negara (MSN) dapat berikan lebih banyak bantuan kerana basikal ini satu prospek untuk kilauan pingat emas Olimpik 2024.

“Ia juga peluang terakhir untuk Azizulhasni meraih emas Olimpik selepas dapat pingat perak di Olimpik Tokyo. Saya harap Azizulhasni dapat diberi bantuan lebih besar untuk menang emas.

“Namun, bukan setakat Azizulhasni tetapi juga sukan-sukan lain yang ada potensi untuk dapat pingat,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Untuk rekod, sebanyak RM154 juta diperuntukkan kepada pembangunan sukan negara dalam Belanjawan 2023 sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut Abu Samah, peruntukan besar itu juga amat penting kepada PKBM terutama untuk melahirkan atlet seperti Azizulhasni.

“Bantuan tambahan ini juga amat penting kerana kita perlu mengambil bahagian dalam banyak kejohanan yang akan dipertandingkan pada 2023 dan separuh pada 2024 untuk kiraan mata layak ke Olimpik.

“Selain itu, kita turut menumpukan pembangunan atlet kerana kita juga mempunyai beberapa pelumba berbakat dan perlu digilap untuk menjadi sehebat Azizulhasni,” katanya. -- Sinar Harian