KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka menjana pendapatan cukai perkhidmatan tambahan sebanyak RM900 juta pada 2024 berikutan rancangannya untuk menaikkan kadar cukai perkhidmatan kepada lapan peratus daripada enam peratus serta meluaskan skop perkhidmatan bercukai meliputi perkhidmatan logistik, pembrokeran, penaja jaminan dan karaoke dalam Belanjawan 2024.

Namun begitu, Ketua Bahagian Percukaian Deloitte Malaysia Sim Kwang Gek berkata kesan segera kepada perniagaan ialah peningkatan kos menjalankan perniagaan kerana kenaikan cukai perkhidmatan akan disalurkan kepada pengguna dan perniagaan pada akhirnya.

"Seperti yang kita sedia maklum, rejim cukai jualan dan perkhidmatan mempunyai kesan 'cukai ke atas cukai' dan akan menyebabkan harga lebih tinggi.

"Bagi menampungnya, kerajaan diharap akan memperluaskan pengecualian perniagaan ke perniagaan yang kini terpakai kepada perkhidmatan bercukai tertentu yang ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan lewat Jumaat sebagai maklum balas kepada Belanjawan 2024 yang dibentangkan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, Ketua Percukaian PwC Malaysia Jagdev Singh berpandangan bahawa kenaikan cukai perkhidmatan nampaknya satu langkah stopgap sehingga kerajaan bersedia untuk melaksanakan cukai penggunaan secara meluas dalam bentuk cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

"Walaupun strategi untuk mengekalkan kadar cukai perkhidmatan bagi perkhidmatan makanan dan minuman serta telekomunikasi adalah berhemat kerana ia digunakan oleh orang ramai, beberapa perkhidmatan lain yang digunakan oleh perniagaan akan menyebabkan peningkatan kos menjalankan perniagaan.

"Selain itu, meluaskan skop cukai perkhidmatan untuk meliputi perkhidmatan logistik akan mempunyai kesan melata ke atas kos, dan perniagaan akan berusaha untuk mengenakannya kepada pengguna dalam bentuk kenaikan harga barang dan perkhidmatan," kata beliau.

Presiden Institut Cukai Bertauliah Malaysia (CTIM) Chow Chee Yen pula berkata negara mungkin menyaksikan kenaikan caj atau yuran daripada penerima perkhidmatan yang diberikan berikutan peningkatan dua peratus itu.

"Tarikh kuat kuasa kenaikan kadar cukai perkhidmatan tidak disebut dalam pengumuman belanjawan dan ia dijangka diumumkan dalam Rang Undang-undang (RUU) Kewangan (No. 2) 2023 atau dalam perundangan subsidiari," katanya.

-- BERNAMA