Skip to main content

Dunia

Indonesia perketat peraturan vape mulai Julai

71747118737_TBvape.jpg
Indonesia akan melaksanakan peraturan lebih ketat terhadap rokok elektronik atau vape mulai Julai bagi memperkukuh perlindungan kesihatan awam. - Gambar hiasan

JAKARTA: Indonesia akan melaksanakan peraturan lebih ketat terhadap rokok elektronik atau vape mulai Julai bagi memperkukuh perlindungan kesihatan awam.

Ketua Biro Komunikasi dan Perkhidmatan Awam Kementerian Kesihatan, Aji Muhawarman berkata, langkah yang diperkenalkan di bawah Peraturan Kerajaan No. 28 Tahun 2024, akan menyelaras pengawalseliaan rokok elektronik dengan produk tembakau konvensional.

Advertisement

“Peraturan mengenai rokok elektronik dalam Peraturan Kerajaan No. 28 Tahun 2024 merangkumi sekatan umur, kawalan pengiklanan serta piawaian kandungan produk,” katanya menurut Agensi Berita ANTARA pada Khamis.

Aji berkata, peraturan itu melarang penggunaan rokok elektronik oleh individu berumur bawah 21 tahun dan mengehadkan pengiklanan, termasuk di platform media sosial.

Selain itu, produk vape mesti mematuhi piawaian kandungan nikotin maksimum dan tidak dibenarkan mengandungi bahan tambahan yang memberi kesan buruk terhadap kesihatan, kata beliau.

Aji menjelaskan, peraturan itu juga mewajibkan amaran kesihatan bergambar serta melarang penggunaan rokok elektronik di kawasan larangan merokok.

Kementerian itu kini sedang menyediakan peraturan terbitan, termasuk peraturan dan keputusan menteri sebagai garis panduan pelaksanaan menjelang penguatkuasaan pada Julai.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video