KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memperuntukkan RM18 juta bagi melancarkan urusan reformasi perundangan, termasuk persiapan penyediaan Rang Undang-undang (RUU) Pelaksanaan Hukuman Gantian terhadap Hukuman Mati Mandatori.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat pada Jumaat berkata, Kerajaan turut memperuntukkan RM38 juta bagi meningkatkan produktiviti institusi kehakiman negara.

“Peruntukan ini mencakupi keutamaan membaik pulih prasarana serta menaik taraf kemudahan ICT mahkamah yang sudah usang dan rosak.

“Ini juga termasuk RM20 juta bagi memperkasa Akademi Kehakiman Malaysia dan Akademi Kehakiman Syariah Malaysia dalam melatih hakim-hakim mahkamah atasan secara lebih terancang dan berkesan,” katanya lagi.

Selain itu beliau berkata, dengan lulusnya RUU Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023, komitmen Kerajaan Perpaduan seterusnya adalah untuk membentangkan Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan di Parlimen pada tahun hadapan.

Menyentuh mengenai reformasi institusi awam, Perdana Menteri berkata, Kerajaan akan menambah baik kemampanan hasil, perlindungan sosial, tatakelola syarikat berkaitan 20 Kerajaan (GLC) dan pengurusan hutang negara.

Antara syor-syor yang akan dilaksanakan, kata beliau ialah – menambah baik pengenaan duti setem; memperkukuh pentadbiran cukai; memperluas sistem perlindungan sosial; serta menstruktur semula institusi kewangan pembangunan (DFI) melalui penggabungan Bank Pembangunan Malaysia Bhd, SME Bank, dan Exim Bank.

Selain itu beliau berkata, Kerajaan juga akan memperkukuh persekitaran modal teroka melalui pemusatan agensi modal teroka seperti Penjana Kapital dan MAVCAP di bawah Khazanah Nasional Berhad.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, selaras dengan Kerangka Ekonomi MADANI, Kerajaan akan menumpukan kepada Kerjasama Awam-Swasta-Dermawan (PPPP) dalam melaksanakan projek untuk rakyat. 21 55.

“Dalam menangani pelbagai isu rakyat di lapangan, Kerajaan memperuntukkan RM100 juta untuk terus menyokong usaha yang diambil oleh NGO dan pertubuhan masyarakat sivil termasuk Yayasan Hasanah.

“Bagi memastikan sumber pendapatan institusi, organisasi dan tabung yang diluluskan di bawah subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 terus mampan dan dapat menyokong inisiatif kebajikan yang dihasratkan oleh Kerajaan, dicadangkan syarat penggunaan tidak melebihi 25 peratus daripada dana yang terkumpul bagi tujuan penglibatan dalam perniagaan dinaikkan kepada 35 peratus,” katanya lagi.

Dengan kelonggaran tersebut, Perdana Menteri berkata kerjasama antara Kerajaan dan NGO dapat diperkukuh untuk menambah baik kualiti hidup rakyat.