BINTULU: Manfaat diperoleh Sarawak menerusi Belanjawan 2024 tidak harus dilihat semata-mata terhadap peruntukan pembangunan sebanyak RM5.8 bilion khusus untuk negeri itu tetapi juga melalui peruntukan yang diberikan kepada kementerian-kementerian Persekutuan.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata belanjawan yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu turut menumpukan isu berkaitan Sarawak seperti rundingan untuk mengambil alih Pelabuhan Bintulu, pembinaan Pusat Kanser Sarawak serta pembangunan infrastruktur.

"Saya ucap terima kasih kepada Kerajaan Perpaduan yang memberikan peruntukan yang besar juga kepada Sarawak. Terdapat juga kementerian lain yang mempunyai peruntukan yang akan disalurkan untuk Sarawak. Dalam erti kata lain, boleh menjadi lebih daripada RM5.8 bilion (peruntukan pembangunan)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Bintulu di sini hari ini.

Pada Jumaat, Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat berkata sejumlah RM5.8 bilion diperuntukkan untuk pembangunan di negeri ini.

Selain itu, Kerajaan Perpaduan juga telah meningkatkan kadar pemberian khas interim untuk Sarawak dan Sabah kepada RM300 juta, berbanding RM16 juta bagi Sarawak dan RM125.6 juta bagi Sabah sebelum ini.

Mengakui Sarawak menginginkan peruntukan yang lebih besar tahun depan, Abang Johari berkata pihaknya memahami kekangan serta had peruntukan yang boleh disalurkan oleh kerajaan Persekutuan.

"Apa yang penting, (kerajaan bersetuju) untuk melantik wakil Sarawak sebagai ahli lembaga pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri," katanya.

Dewan Rakyat sebelum ini meluluskan Rang Undang-Undang Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (Pindaan) 2023 bagi membolehkan wakil kerajaan Sabah dan Sarawak dilantik sebagai ahli lembaga pengarah.

Beliau berkata fokus selepas pembentangan belanjawan adalah perbincangan susulan mengenai Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh berkaitan peruntukan khas kepada Sabah dan Sarawak.

-- BERNAMA