KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukan RM393.8 bilion dalam Belanjawan 2024 yang dikenali sebagai Belanjawan Madani Kedua, sekali gus menyaksikan belanjawan tertinggi yang pernah dibentangkan dalam sejarah negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan berkata, daripada jumlah tersebut, RM303.8 bilion adalah untuk belanja mengurus, RM90 bilion untuk belanja pembangunan dan RM2 bilion simpanan luar jangka.

"Perbelanjaan tersebut melibatkan penambahan siling Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) sebanyak RM15 bilion lagi, menjadikan jumlah keseluruhan RM415 bilion untuk tempoh lima tahun.

"Penambahan ini menunjukkan, kerajaan mengamalkan pendekatan fiskal yang mengembang walaupun pada masa yang sama bertanggungjawab mengurangkan defisit fiskal secara berperingkat," kata Perdana Menteri ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2024) di Dewan Rakyat hari ini.

Belanjawan 2024 merupakan Belanjawan Madani Kedua sebagai kesinambungan dasar yang menelusuri Kerangka Ekonomi Madani melibatkan  tiga tumpuan utama iaitu; Tatakelola Terbaik Demi Ketangkasan Perkhidmatan; Penstrukturan Semula Ekonomi Bagi Melonjak Pertumbuhan; Peningkatan Darjat Hidup Rakyat.