Belanjawan 2026: Harga rokok dan minuman keras naik, hasil disalur ke KKM

Perdana Menteri berkata, hasil itu akan diagih kepada KKM, antaranya untuk inisiatif kesihatan paru-paru serta rawatan diabetes dan penyakit jantung. - Gambar JaPen
KUALA LUMPUR: Bagi mengurangkan prevalens perokok di Malaysia, kadar duti eksais ke atas produk rokok dinaikkan berkuat kuasa mulai 1 November ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hasil tambahan daripada rokok dan juga minuman keras akan diagihkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM), antaranya untuk Inisiatif Kesihatan Paru-Paru KKM serta bagi rawatan diabetes dan penyakit jantung.
“Pertama adalah kenaikan harga rokok yang meningkat dua sen sebatang. Kedua ialah cigars, cheroots dan cigarillos naik RM40 sekilogram dan ketiga ialah produk heated tobacco naik RM20 sekilogram kandungan tembakau,” katanya semasa pembentangan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, kerajaan turut melanjutkan tempoh pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas produk terapi gantian nikotin dan diperluas kepada produk nicotine mist dan nicotine lozenges sehingga 31 Disember 2027."Bagi mengurangkan akses kepada minuman beralkohol dan menggalakkan gaya hidup lebih sihat, kerajaan turut bersetuju supaya kadar duti eksais bagi produk minuman keras dinaikkan sebanyak 10 peratus mulai 1 November 2025.
“Mencegah lebih baik daripada mengubati. Dicadangkan, perbelanjaan pemvaksinan yang layak mendapat pelepasan cukai pendapatan individu diperluas meliputi semua jenis vaksin yang didaftar dan diluluskan oleh KKM,” ujarnya.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami