Belanjawan 2026: ‘Kawal harga barangan, kekal subsidi’

Beberapa peniaga di Pasar Besar Kota Kinabalu yang ditemui Astro AWANI pada Khamis, menyuarakan harapan menjelang belanjawan 2026 - Foto Astro AWANI
KOTA KINABALU: Menjelang pembentangan Belanjawan 2026, para peniaga dan rakyat di Pasar Besar Kota Kinabalu, di sini menyuarakan harapan agar kerajaan memberikan perhatian serius terhadap cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat.
Ringkasan AI
- Rakyat dan peniaga di Pasar Besar Kota Kinabalu berharap Belanjawan 2026 beri perhatian kepada kos sara hidup yang meningkat.
- Permintaan utama termasuk kawalan harga barang, kesinambungan subsidi, bantuan tunai kepada rakyat dan sokongan modal untuk peniaga kecil.
- Harapan tambahan agar bantuan seperti Bantuan Rahmah diteruskan dan diperluaskan, serta sokongan sektor pertanian melalui subsidi baja.
“Cabaran yang paling ketara dari segi peningkatan harga. Itu yang kami harap dapat dikawal sebab kebanyakan barang, harganya semua meningkat dua kali ganda.
“Pemberian subsidi daripada kerajaan dapat bantu peniaga supaya keuntungan kami boleh dapat lebih,” katanya ketika ditemui Astro AWANI, pada Khamis.
Peniaga barangan kering, Sitti Aishah Shaipul, 44, pula berharap kerajaan mengekalkan bantuan langsung dan subsidi, selain menangani isu harga yang terlalu tinggi sehingga memberi persepsi kepada pembeli termasuk pelancong asing.
“Saya harap kerajaan kekalkan bantuan untuk rakyat, dan subsidi untuk barangan bersubsidi, serta turunkan harga barang.
“Pelancong-pelancong dari negara lain, dia nampak macam harga barangan yang dijual mahal dan naik. Harap cabaran kenaikan harga barangan ini boleh lebih diatasi lagi,” ujarnya.
Bagi Abdul Aziz Sarudin, 62, yang telah lebih 20 tahun berniaga di pasar tersebut, bantuan modal daripada agensi kerajaan banyak membantu kelangsungan peniaga kecil.
Pada masa sama, dia berharap bantuan kepada dalam sektor pertanian seperti subsidi baja dapat diperluaskan bagi mengawal harga produk.
“Alhamdulillah selama ini Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) telah banyak membantu kepada peniaga khususnya di Pasar Besar Kota Kinabalu ini.
“Bantuan seperti ini juga membantu mereka menambah baik peniaga dari masa ke masa,” katanya.
Sementara itu, peniaga sayur, Mai Lan Pang, 63, menzahirkan penghargaan terhadap inisiatif seperti Bantuan Rahmah dan berharap ia tidak hanya dikekalkan, malah diperluaskan.
“Harap bantuan itu diteruskan sebab kami pun senang sikit mahu beli barangan asas.
“Bantuan Rahmah pun bagus juga sebab kami beli barang pakai kad pengenalan dan ia senang sikit. Terus tiada keluar duit lagi, pakai ‘IC’ saja,” katanya.
Perdana Menteri, yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual membentangkan Belanjawan 2026 Malaysia MADANI di Dewan Rakyat pada 10 Oktober, sekali gus menandakan permulaan hala tuju baharu bagi pembangunan negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami