Belanjawan 2026: Peruntukan RM230 juta, AIM sasar lahirkan 32,857 usahawan baharu

Mohamed Shamir berkata peruntukan besar itu akan digunakan secara strategik dan bersasar bagi meningkatkan penyertaan wanita dalam aktiviti keusahawanan mikro di seluruh negara. - Foto AIM
KUALA LUMPUR: Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yakin peruntukan sebanyak RM230 juta yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim, pada pembentangan Belanjawan 2026, mampu melahirkan seramai 32,857 usahawan mikro baharu.
Pengarah Urusan AIM, Dato' Mohamed Shamir Abdul Aziz, yang menyambut baik pengumuman berkenaan, menyifatkannya sebagai kesinambungan komitmen Kerajaan Madani dalam memperkasa ekonomi wanita B40.
Katanya, peruntukan besar itu akan digunakan secara strategik dan bersasar bagi meningkatkan penyertaan wanita dalam aktiviti keusahawanan mikro di seluruh negara.
“Kami mensasarkan seramai 32,857 usahawan baharu dapat dlahirkan dengan kemudahan pembiayaan berjumlah RM10,000 hingga RM30,000. Mereka juga dberi peluang membuat bayaran balik yang lebih fleksible iaitu sehingga 3 tahun.“Daripada jumlah keseluruhan, 60% akan disalurkan kepada wanita luar bandar, manakala 40% diperuntukkan kepada golongan wanita miskin bandar,” katanya.
Menurut beliau, fokus utama institusi kewangan mikro itu ialah memastikan peluang pembiayaan ini benar-benar sampai kepada kumpulan sasar dan ia dapat menjana pendapatan dan mengubah taraf hidup keluarga B40.
“Dengan suntikan dana tambahan sebanyak RM230 juta ini, ia membolehkan AIM meluaskan jangkauan pembiayaan mikro kepada lebih ramai wanita,” katanya.
Katanya, peruntukan ini akan menjadikan jumlah keseluruhan pembiayaan bagi tahun 2026 meningkat daripada RM2.7 bilion pada tahun sebelumnya, kepada RM2.9 bilion.
Menurutnya, AIM kini mempunyai 320,000 Sahabat Usahawan Aktif di seluruh negara. Majoritinya menjalankan perniagaan kecil-kecilan bagi menjana pendapatan isi rumah supaya keperluan asas, persekolahan anak-anak dan taraf kesihatan ahli keluarga dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa.
“Kami juga sedang berusaha untuk menggalakkan usahawan-usahawan wanita ini, yang hampir 70 peratus masih dalam kategori menjalankan perniagaan informal supaya beralih kepada perniagaan formal."
Menurutnya, tumpuan juga akan diberikan untuk membimbing Sahabat-Sahabat Usahawan AIM ini ke arah Persijilan Halal yang mana ia dapat mengangkat produk atau perhidmatan mereka ke tahap yang bersifat antarabangsa dengan piawaian menepati standard dunia.
“Justeru, apabila diumumkan peruntukan sebanyak RM230 juta ini, ia sangat ditunggu oleh usahawan-usahawan kecil ini, kerana dana ini memberi semangat untuk mereka pergi lebih jauh.
“Dengan pencapaian cemerlang bayaran balik pinjaman sebanyak 99.97 peratus, ia membuktikan bahawa golongan wanita yang kami sasarkan ini merupakan aset ekonomi negara yang boleh dipercayai dan berdaya tahan,” tambahnya.
Menurutnya, sejak ditubuhkan pada tahun 1987, AIM telah menyalurkan lebih RM37.68 bilion pembiayaan mikro dan membantu lebih satu juta wanita Malaysia keluar daripada kemiskinan.
“Kami amat berterima kasih kepada Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang begitu prihatin dan sentiasa menyokong usaha kami dalam membantu kerajaan mengurangkan kadar kemiskinan di negara ini,” katanya.
Beliau berkata, sejak dilantik sebagai Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyalurkan sokongan berterusan kepada AIM — bermula dengan RM10 juta bantuan segera, diikuti RM100 juta pada Belanjawan 2024, dan kini RM230 juta untuk tahun 2026, menjadikan jumlah keseluruhan sokongan RM340 juta dalam tempoh tiga tahun.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami