Skip to main content

Bisnes

Belanjawan 2027 perkasa PKS, kos perniagaan lebih rendah – Sim

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Eksport Enterprise 50 2026 hari ini. - Foto Bernama
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Eksport Enterprise 50 2026 hari ini. - Foto Bernama

Advertisement

Ringkasan AI

  • Belanjawan 2027 memperuntukkan dana tertinggi dalam sejarah untuk PKS, dengan langkah mengurangkan kos perniagaan dan meningkatkan kecekapan penyampaian kerajaan.
  • Antara inisiatif utama ialah pengecualian PKS daripada kenaikan gaji minimum serta peningkatan peruntukan kontrak kecil kerajaan kepada RM7.5 bilion pada 2027.
  • KUSKOP akan membantu PKS menembusi pasaran global melalui e-dagang, pemudahan peraturan, dan promosi produk Malaysia di luar negara.

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2027 disifatkan sebagai belanjawan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dengan peruntukan tertinggi dalam sejarah serta langkah mengurangkan kos menjalankan perniagaan bagi membantu perusahaan tempatan terus berkembang.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, Belanjawan 2027 memenuhi tiga keutamaan kementerian, iaitu menyediakan lebih banyak pembiayaan kepada PKS, mengurangkan kos perniagaan dan meningkatkan kecekapan penyampaian kerajaan.

Menurutnya, antara langkah utama ialah pengecualian PKS daripada kenaikan gaji minimum terkini, selain peningkatan peruntukan kontrak kecil kerajaan daripada RM4 bilion tahun ini kepada RM7.5 bilion pada 2027.

“Dalam Belanjawan 2027, KUSKOP mahukan lebih banyak dana untuk PKS, kos menjalankan perniagaan yang lebih rendah dan kecekapan yang lebih tinggi, khususnya dalam penyampaian kerajaan,” katanya ketika merasmikan Persidangan Eksport Enterprise 50 2026 di Grand Ballroom, Renaissance Kuala Lumpur Hotel & Convention Centre, di sini, hari ini.

Sim berkata, sokongan itu penting ketika perniagaan berdepan cabaran ekonomi global, termasuk ketegangan perdagangan, konflik geopolitik serta ketidaktentuan rantaian bekalan yang menyukarkan urusan perdagangan antarabangsa.

Beliau berkata, kerajaan bukan sahaja mahu membantu PKS bertahan dalam keadaan mencabar, malah memperkasa perusahaan tempatan supaya mampu bersaing dan berkembang di pasaran global.

“Apa yang kita mahukan ialah belanjawan ini dan sumber yang disediakan dapat memperkasa PKS untuk terus mara, berjuang dan menang dalam persaingan ekonomi global,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata eksport PKS meningkat lebih 10 peratus tahun lalu dan kini menyumbang kira-kira 15 peratus daripada keseluruhan eksport negara, sekali gus menunjukkan potensi perusahaan tempatan untuk menembusi pasaran antarabangsa.

Bagi memperluas peluang itu, KUSKOP akan melaksanakan strategi tiga pendekatan, iaitu membantu PKS menyertai platform e-dagang global, memudah cara urusan permit dan peraturan serta memperkukuh promosi produk dan perkhidmatan Malaysia di pasaran luar negara.

“Kita mahu membantu perniagaan Malaysia menggunakan platform e-dagang global seperti Alibaba untuk membawa produk dan perkhidmatan kita ke seluruh dunia,” katanya.

Sim turut menegaskan komitmen kementerian untuk mempercepat peningkatan produktiviti, mengurangkan birokrasi, memperluas akses kepada modal serta membuka peluang pasaran domestik dan antarabangsa kepada PKS.

Beliau yakin usaha bersepadu kerajaan dan agensi berkaitan dapat membantu PKS Malaysia bukan sahaja berkembang dalam pasaran tempatan, malah meningkatkan keupayaan eksport dan daya saing di peringkat global.

Must Watch Video

Advertisement