KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menggunakan peluang pada Belanjawan 2027 yang bakal dibentangkan Oktober ini untuk membantu golongan M40 terutama dalam aspek mengatasi kepayahan akibat kos sara hidup bandar tinggi dan komitmen hutang besar.
Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS), Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Salwani Arbak berkata, pastinya, Perdana Menteri juga memahami keperitan dan kepayahan golongan M40 kerana mereka mendapat kelayakan bantuan kerajaan yang terhad berbanding golongan B40 sedangkan terpaksa menanggung kos sara hidup yang tinggi di bandar-bandar besar.
Jelasnya, golongan M40 di bandar sering digambarkan sebagai ‘kelas sandwich’, mereka menghadapi tekanan kewangan tinggi, tetapi kerap terlepas daripada bantuan bersasar yang dikhususkan untuk golongan B40.
"Di bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang, pendapatan isi rumah M40 dalam lingkungan RM7,000 sehingga RM10,000 tidak lagi sepadan dengan kos perumahan, pengangkutan, dan penjagaan anak yang semakin membebankan.
"Pendapatan isi rumah sehingga RM13,000 di bandar besar kini boleh dikategorikan sebagai M40 atau mengalami tekanan kewangan yang serius akibat kos hidup yang tinggi.
“Kerajaan telah menyatakan niat untuk memberi tumpuan khusus kepada golongan M40 dalam Belanjawan 2027. Namun, niat sahaja tidak mencukupi. Kita memerlukan intervensi dasar yang strategik, berani, dan berpandukan bukti yakni termasuk mengadaptasi model yang telah terbukti berjaya di negara lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Salwani turut menggariskan enam teras cadangan dasar yang boleh dipertimbangkan kerajaan iaitu teras pertama, perumahan mampu milik dan sokongan sewaan iaitu dengan memperkenalkan pelepasan cukai pendapatan baharu atau meningkatkan had pelepasan sedia ada untuk pembayaran sewa rumah bagi isi rumah M40 di kawasan bandar.
Katanya, ini mengiktiraf hakikat bahawa ramai dalam kumpulan ini masih belum mampu memiliki hartanah.
Selain itu ujarnya, kerajaan juga boleh memperluas skim Rent-to-Own (RTO) melalui peruntukan khas dengan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemaju swasta, khusus untuk projek perumahan mampu milik di lokasi strategik bandar bagi mengurangkan kos pengangkutan harian.
“Selain itu rangka kerja dasar boleh dipertimbangkan untuk mengawal kenaikan harga sewa yang tidak munasabah di kawasan tumpuan bandar, sekali gus melindungi penyewa daripada eksploitasi pasaran,” jelasnya.
Katanya lagi, teras kedua ialah pengangkutan dan mobiliti bandar dengan memperkenalkan subsidi pas bulanan pengangkutan awam, memberikan diskaun tol bersasar (contohnya 30 hingga 50 peratus untuk pengguna M40 yang berdaftar melalui sistem RFID serta memperluaskan insentif cukai atau rebat untuk pembelian kenderaan elektrik (EV) yang lebih menjimatkan kos operasi jangka panjang.
“Teras ketiga ialah tentang penjagaan kanak-kanak dan pendidikan awal melalui meningkatkan had pelepasan cukai untuk yuran taska dan pusat penjagaan kanak-kanak berdaftar daripada RM10,000 kepada RM15,000 setahun.
“Memperkenalkan inisiatif "Voucher Penjagaan Anak Dipadankan" (Matched Subsidy) di mana kerajaan dan majikan sama-sama menyumbang ke dalam akaun khas untuk keluarga M40, memastikan akses kepada penjagaan anak berkualiti tanpa membebankan kewangan isi rumah,” katanya.
Salwani menambah, teras keempat pula melibatkan penstrukturan subsidi dan jaring pengaman kos sara hidup dengan memastikan penstrukturan subsidi (seperti subsidi elektrik atau bahan api) tidak membebani M40 secara tiba-tiba melalui pengenalan rebat bil utiliti bersasar atau kredit e-dompet berkala yang dikhususkan untuk pembelian barangan keperluan asas.
Katanya, kerajaan juga perlu mengkaji semula ambang pendapatan M40 supaya ia mencerminkan ‘kos sara hidup bandar’ yang sebenar, bukannya menggunakan purata kebangsaan tidak tepat yang menggambarkan realiti penduduk kota.
“Teras kelima pula melibatkan insentif cukai dengan meningkatkan had pelepasan cukai untuk perbelanjaan perubatan, termasuk rawatan kesihatan mental dan saringan kesihatan pencegahan, memandangkan kos rawatan swasta di bandar adalah sangat tinggi.
“Memberikan potongan cukai korporat tambahan kepada syarikat yang melaksanakan model upah progresif dan memberikan kenaikan gaji bermakna kepada pekerja kategori M40, sebagai penyelesaian jangka panjang untuk meningkatkan daya beli rakyat,” ujarnya.
Pada masa sama, katanya, teras keenam ialah mengenai sokongan kemahiran dan kesejahteraan pekerjaan dengan memperkenalkan baucar latihan kemahiran digital dan profesional bernilai tinggi yang dibiayai sepenuhnya, membolehkan golongan M40 meningkatkan nilai pasaran mereka, seterusnya membuka peluang untuk kenaikan pangkat atau gaji yang lebih kompetitif.