KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor mengumumkan peruntukan sebanyak RM65 juta bagi sektor Kesihatan Awam dalam Belanjawan Selangor 2022.

Menurut Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari, ia melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM8.5 juta berbanding belanjawan negeri pada tahun 2021.

"Pada tahun 2022, Kerajaan Negeri akan meneruskan inisiatif yang telah dilaksanakan pada tahun ini, bagi memastikan aspek penjagaan nyawa dan kelangsungan hidup (live and livelihood) ini menjadi teras pembangunan negeri.

"Bagi mencapai hasrat ini, peruntukan untuk sektor Kesihatan Awam secara keseluruhan pada tahun 2022 telah ditingkatkan kepada RM65 juta, dimana pertambahan sebanyak RM8.5 juta berbanding peruntukan pada tahun 2021," jelasnya sewaktu membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan Selangor tahun 2022 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Jumaat.

BACA: Belanjawan Selangor 2022 bernilai lebih RM2.34 bilion - MB

Tambah Amirudin, kerajaan negeri juga sentiasa memberi fokus kepada pengurusan COVID-19 di Negeri Selangor dalam memastikan aktiviti ekonomi dan sosial berjalan seperti sedia kala.

"Seperti yang kita sedia maklum, Kerajaan Negeri sentiasa memberi fokus kepada pengurusan COVID-19 di negeri Selangor dalam memastikan aktiviti ekonomi dan sosial dapat berjalan seperti sedia kala.

"Dalam masa yang sama, kita perlu menerima hakikat bahawa virus ini akan hidup bersama dengan kita dan negara sudah memasuki fasa endemik.

"Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM500,000 sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan berlaku penularan wabak dengan menambah dan mempelbagaikan program-program advokasi berkaitan pematuhan SOP serta menambah baik sistem sokongan kepada pesakit yang dijangkiti COVID-19," jelasnya lagi.

Dalam pada itu, sebanyak RM46 juta turut diperuntukkan dalam program Iltizam Selangor Sihat, RM5 juta bagi Skim Rawatan Jantung, RM5 juta bagi Bantuan Sihat Selangor, RM5 juta bagi Pencegahan dan Kawalan Denggi.

Manakala RM1.5 juta diperuntukkan bagi Program Saringan Kesihatan Percuma (Saring Selangor), RM1.5 juta bagi Program Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA).

Anak yatim COVID-19

Dalam pada itu, atas prihatin kerajaan negeri tambah Amirudin, seramai 2,500 anak yatim yang kehilangan ibu bapa disebabkan COVID-19 akan menerima bantuan sebanyak RM500 dalam Belanjawan Selangor 2022.

"Kerajaan Negeri amat prihatin dengan golongan anak-anak Selangor ini dan akan memberikan sumbangan kewangan kepada anak yatim berjumlah RM1.25 juta yang akan memberi manfaat kepada 2,500 anak yatim di seluruh negeri Selangor.

"Sebanyak RM500 akan diberikan pada anak-anak di negeri Selangor yang telah kehilangan ibu atau ayah akibat COVID-19," ujarnya.

Selain itu tambah Amirudin, kerajaan negeri akan menyelaras agensi berkaitan bagi tujuan pengurusan harta pusaka, penjagaan anak anak serta bantuan kesihatan emosi.