Organisasi atau pertubuhan yang memilih untuk tidak berhijrah ke Protokol Internet versi 6 (IPv6) berisiko menyaksikan keupayaan mereka terkekang untuk berinovasi dan memacu pertumbuhan perniagaan, kata pengerusi IPv6 Forum Malaysia Prof Emeritus Dr Sureswaran Ramadass.

IPv6 menyediakan alamat IP unik untuk setiap pengguna dan membenarkan lebih banyak peranti, rangkaian dan perkhidmatan disambungkan, kata Sureswaran sambil menambah IPv6 menyediakan ruang alamat yang besar (340 trilion kombinasi unik), keselamatan yang dipertingkatkan, prestasi, keupayaan auto konfigurasi rangkaian yang lebih baik dan kebolehskalaan.

Beliau berkata perniagaan bergantung pada keupayaan teknologi maklumat untuk menyampaikan perkhidmatan baharu kepada pengguna akhir dan pelanggan, tetapi perkhidmatan dan infrastruktur yang digunakan untuk menyokongnya memerlukan alamat IP, yang bermaksud peralihan ke IPv6.

"Setiap peranti elektronik contohnya telefon mudah alih, komputer riba dan tablet perlu berkomunikasi dengan peranti lain dalam talian menggunakan alamat IP kerana IP ialah set peraturan utama untuk komunikasi di internet.

"Memandangkan alamat IPv4 (versi 4) sudah kehabisan, kini dunia menggunakan alamat IPv6. Dengan IPv6, peranti boleh kekal bersambung ke beberapa rangkaian serentak," katanya kepada Bernama.

Sureswaran berkata IPv6 akan memberi manfaat kepada mana-mana perniagaan untuk memacu pertumbuhan perniagaan.

Penyedia kandungan web utama seperti Google, Alexa, Facebook, Yahoo, YouTube, LinkedIn dan lain-lain telah mencapai penghijrahan IPv6 sepenuhnya manakala kebanyakan pengendali mudah alih, pembekal perkhidmatan Internet (ISP) dan pengeluar peranti mudah alih menyokong kedua-dua piawaian secara serentak.

"Mana-mana pengguna baharu hanya boleh menggunakan alamat IPv6 kerana kami tidak mempunyai alamat IPv4 lagi," katanya.

Persidangan itu dihoskan oleh IPv6 Forum Malaysia dan disokong oleh Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd, NLTVC Education Sdn Bhd, Adastanetwork Sdn Bhd dan MLABS Systems Bhd.

Turut serta dalam acara ini ialah agensi kerajaan, penyedia perkhidmatan internet dan telekomunikasi serta syarikat multinasional, kata IPv6 Forum Malaysia dalam satu kenyataan.

Antara acara kemuncak persidangan itu ialah pelancaran Majlis v6 Asia-Pasifik (APAC) yang diketuai oleh Sureswaran, manakala majlis itu membentangkan kertas putih bertajuk "IPv6 Evolution Roadmap and Implementation Guide".

Majlis v6 APAC dengan kerjasama Persatuan Jalur Lebar Dunia (WBBA), bertujuan mempertingkatkan kesedaran, memupuk amalan terbaik dan memudahkan kerjasama rentas sempadan untuk pelaksanaan IPv6 di rantau Asia Pasifik.

-- BERNAMA