Skip to main content

Malaysia

Bayi lelaki baru lahir ditinggalkan di dalam surau

61728918105_bayi.jpg
Seorang bayi lelaki baru lahir ditemukan ditinggalkan di dalam sebuah surau di Taman Daya di Johor Bahru, petang semalam dalam keadaan masih hidup dengan berbalut tuala. - Foto hiasan

JOHOR BAHRU: Seorang bayi lelaki baru lahir ditemukan ditinggalkan di dalam sebuah surau di Taman Daya di sini, petang semalam dalam keadaan masih hidup dengan berbalut tuala.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata bayi berkenaan dijumpai oleh seorang jemaah berusia 58 tahun, kira-kira 12 tengah hari ketika hendak menunaikan solat di surau itu sebelum bertindak membuat laporan polis dan menghubungi Hospital Sultan Ismail (HSI). 

“Hasil pemeriksaan oleh pegawai perubatan mendapati bayi lelaki tersebut berada dalam keadaan baik, stabil dan tiada sebarang kecederaan.

“Siasatan awal mendapati bayi berkenaan ditinggalkan di dalam kawasan berdekatan dengan tabung surau oleh seorang lelaki berumur lebih kurang 20-an. Usaha mengesan suspek kini sedang giat dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Raub berkata kes  disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi hotline IPD Johor Bahru Selatan melalui talian 07-2182323.

Semalam tular di media sosial video memaparkan seorang lelaki dipercayai meninggalkan seorang bayi yang dibaluti kain tuala di dalam sebuah beg dan diletakkan di sebuah surau.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement