KUALA LUMPUR: Laporan rasmi untuk suku keempat 2023 masih belum dikeluarkan, namun transaksi hartanah pada sembilan bulan pertama tahun 2023 mencatatkan di antara bilangan transaksi yang tertinggi di seluruh negara untuk tempoh yang sama sejak 2011/2012, menurut Rahim & Co Research Sdn Bhd.

Laporan terkini firma penyelidikan itu dalam laporan tahunan hartanahnya bertajuk 'Property Market Review 2023/2024 membuktikan momentum pasaran hartanah yang berterusan dari tahun 2022.

"Ini selari dengan kadar pemulihan pasca-pandemik yang mengatasi prestasi pasaran pra-2020.

"Di antara sektor-sektor hartanah utama, bilangan transaksi keseluruhan sektor kediaman dan komersial telah mencatatkan peningkatan manakala sektor industri menyaksikan sedikit penurunan tetapi masih meningkat dalam jumlah nilai transaksi," kata firma tersebut.

Tambahnya, sektor komersial telah mencatatkan pertumbuhan yang paling ketara pada 22.3 peratus dan 24.8 peratus dalam bilangan dan nilai transaksi.

"Bagi sektor kediaman, pertumbuhan harga yang lebih stabil tetapi masih dibelenggu isu kemampumilikan telah mempengaruhi pemaju untuk membuat pelancaran berskala kecil bagi pelancaran baharunya sambil mengutamakan projek-projek semasa dan sedia ada.

"Dalam sektor komersial pula, kedua-dua subsektor perniagaan dan pejabat menyaksikan sedikit peningkatan dalam kadar penghunian apabila penyiapan baharu yang sebelum ini tertangguh telah memberi laluan kepada permintaan untuk merapatkan sedikit dengan jurang penawaran.

"Bagaimanapun, memandangkan lapan juta kaki persegi di Lembah Klang, tekanan pasaran masih belum lagi berakhir," jelas laporan itu.

Di samping itu, firma menyatakan, di antara semua negeri, Johor menunjukkan peningkatan aktiviti hartanah yang paling kukuh dengan peningkatan sebanyak 31.8 peratus.

Katanya dalam kenyataan, dalam sektor perindustrian yang telah menarik banyak perhatian dengan percambahan sektor e-dagang dan logistik, minat para pelabur didapati masih kekal terutamanya untuk taman perindustrian bersepadu.

"Sektor perhotelan telah menyaksikan ketibaan pelancong bagi sembilan bulan pertama 2023 mencecah 14.4 juta pelanciong, melebihi unjuran awalnya," kata firma itu.

Dengan itu jumlah pelancong bagi keseluruhan tahun 2023 telah diunjurkan semula daripada 16.1 juta kepada 19.1 juta, didorong oleh kemasukan pelancong asing.