BISNES
Bina Puri berdepan dua petisyen gulung tikar daripada LHDN berhubung dakwaan tunggakan cukai RM5 juta

Bina Puri Holdings Bhd berkata, kedua-dua anak syarikat sedang mendapatkan nasihat undang-undang dan cukai, selain bercadang mengambil segala langkah perlu untuk menentang petisyen gulung tikar.- Foto DagangNews
KUALA LUMPUR: Bina Puri Holdings Bhd memaklumkan bahawa dua anak syarikat milik penuhnya telah menerima petisyen gulung tikar daripada kerajaan melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kerana gagal melunaskan cukai tertunggak.
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia pada Selasa, Bina Puri Properties Sdn Bhd telah menerima petisyen berhubung cukai tertunggak berjumlah RM849,499, manakala Bina Puri Sdn Bhd (BPSB) pula menerima petisyen berasingan membabitkan jumlah cukai yang lebih besar sebanyak RM4.2 juta.
Kedua-dua petisyen itu telah difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Kumpulan tersebut berkata kedua-dua anak syarikat berkenaan sedang mendapatkan nasihat undang-undang dan cukai, selain bercadang mengambil segala langkah perlu untuk menentang petisyen tersebut. Pendengaran bagi kedua-dua petisyen itu ditetapkan pada 29 September.Bina Puri menegaskan bahawa Bina Puri Properties dan BPSB bukanlah anak syarikat utama seperti yang ditakrifkan di bawah Bab 1 Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities.
“Tiada sebarang impak kewangan dan operasi secara serta-merta serta tiada kerugian dijangka kepada kumpulan berikutan petisyen tersebut,” jelasnya.
Perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah petisyen penggulungan yang dihadapi oleh Bina Puri dan anak-anak syarikatnya sekurang-kurangnya lima bagi tahun 2025 sahaja.
Pada Mei lalu, satu lagi anak syarikat milik penuh, Bina Puri Sdn Bhd, telah menerima petisyen penggulungan daripada Fujifilm Business Innovation Asia Pacific Pte Ltd berhubung dakwaan hutang tertunggak sebanyak RM309,129.
Kumpulan itu sebelum ini menyatakan bahawa jumlah berkenaan telah diliputi di bawah skim pengaturan yang diluluskan mahkamah dan menyifatkan pemfailan petisyen tersebut sebagai “tidak wajar” serta melanggar skim berkenaan.
Pada April, Bina Puri sendiri telah menerima petisyen penggulungan daripada Wisma Majujaya Sdn Bhd berhubung kegagalan untuk membayar RM30 juta yang telah dianugerahkan oleh mahkamah dalam penghakiman terus berkaitan pertikaian usaha sama di Johor Bahru.
Kumpulan itu menegaskan bahawa tuntutan tersebut tidak sah dan menyamakan transaksi tersebut sebagai aktiviti peminjaman wang tanpa lesen.
Pada Februari, syarikat itu turut menerima petisyen penggulungan daripada Export-Import Bank of Malaysia Bhd berhubung tunggakan bayaran berjumlah AS$4.9 juta (RM21.75 juta) dan RM17,253.
Pada ketika itu, kumpulan berkenaan memaklumkan bahawa rundingan sedang dijalankan untuk menyelesaikan perkara itu secara baik.
Bina Puri juga baru-baru ini menjadi tumpuan selepas saham waran B-nya (BPURI-WB) melonjak pada 24 April, iaitu pada hari sama insiden dagangan digodam dilaporkan di Bursa Malaysia yang melibatkan kira-kira 80 akaun.
Saham Bina Puri ditutup naik dua sen atau 6.56 peratus kepada 32.5 sen pada Selasa dengan nilai pasaran kumpulan mencecah RM264.6 juta. - DagangNews.com
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami