Lebih 3,000 pengunjung teruja rasai fenomena laut terbelah di Pulau Pangkor

Lebih 3,000 pengunjung di Pantai Teluk Nipah dekat Pulau Pangkor teruja apabila berpeluang berjalan kaki sejauh 400 meter di atas beting pasir itu yang menghubungkan ke Pulau Giam susulan fenomena laut terbelah akibat air surut. - Foto BERNAMA
LUMUT: Lebih 3,000 pengunjung di Pantai Teluk Nipah dekat Pulau Pangkor teruja apabila berpeluang berjalan kaki sejauh 400 meter di atas beting pasir yang menghubungkan ke Pulau Giam susulan fenomena laut terbelah akibat air surut.
Pengarah Unit Pengurusan Pulau Bebas Cukai Majlis Perbandaran Manjung (MPM) Anas Malek Ishak berkata pengunjung dapat menikmati fenomena itu kira-kira satu jam setengah yang dijangka berlaku selama tiga hari bermula hari ini.
Beliau berkata MPM turut bekerjasama dengan pihak penguat kuasa dan keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jabatan Perikanan Malaysia bagi memastikan pengunjung dapat melintasi beting pasir itu dengan selamat.
"Ini adalah kerana semasa melintasi beting pasir itu, pengunjung akan menjumpai spesies timun laut, batu karang, sotong, ikan serta pelbagai hidupan laut yang lain, jadi ada yang terpijak kerana tidak perasan.
"Pihak bomba dan APM akan membunyikan wisel apabila air kembali naik dan meminta pengunjung supaya berpatah balik ke darat sebab kami tidak mahu sebarang kejadian tidak diingini berlaku," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pulau Pangkor Mohd Saiful Bahri Abdul Talib berkata sebanyak 10 anggota serta tiga aset daripada Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS), Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) serta kenderaan penyelamat bersiap siaga sekiranya berlaku sebarang kecemasan sepanjang tiga hari fenomena itu berlangsung.
"Kami mula melepaskan pengunjung pada paras air setinggi 0.3 hingga 0.4 meter dan apabila menjelang tengah hari, kami akan meminta pengunjung supaya segera naik ke darat kerana air naik dengan cepat," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Balai Pangkor Inspektor Muhamad Faizol Kamaluddin berkata sebanyak 17 anggota termasuk polis pelancong ditugaskan di sekitar kawasan pantai berkenaan.
"Kami (polis) lebih menekankan aspek keselamatan supaya ibu bapa tidak leka dengan anak-anak yang bermain di gigi air selain pengunjung juga perlu berhati-hati supaya menjaga barang peribadi bagi mengelakkan kehilangan atau keciciran," katanya.
Sementara itu, pelancong Switzerland Alf Zeigler, 64, berkata beliau teruja untuk merasai fenomena laut terbelah buat kali pertama bersama ahli keluarganya.
"Banyak orang di sini seperti satu pesta. Ia sangat menakjubkan dengan banyak orang berjalan bersama-sama, tidak mengira agama dan negara, hanya berkongsi pengalaman itu bersama-sama.
"Tiada sebab untuk berasa takut dengan fenomena itu kerana kami juga melihat spesies timun laut dan banyak habitat laut.
"Ia adalah cara yang menarik untuk merasai lautan dan pasir," katanya di sini.
Seorang guru dari Taiping, D Syimala, 36, berkata beliau telah lama mahu datang ke Pantai Teluk Nipah untuk merasai sendiri fenomena laut terbelah namun keadaan tidak mengizinkan disebabkan kekangan masa dan komitmen kerja.
"Saya berasa seronok sangat dapat melintasi laut terbelah sebab ini pengalaman kali pertama dengan suami dan saudara mara yang lain.
"Pada mulanya agak takut juga tetapi bila sudah melintasi sehingga ke Pulau Giam, memang rasa puas sangat," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


