KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) telah mencapai akhir kitaran kenaikan kadarnya dan akan mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.0 peratus bagi baki tempoh tahun ini, menurut firma pembrokeran BMI.

Firma pembrokeran yang merupakan sebuah unit di bawah agensi penarafan kredit Fitch Solutions itu menjelaskan BNM akan semakin mengalihkan tumpuannya kepada menyokong pertumbuhan dalam beberapa bulan akan datang apabila inflasi dalam negara terus menjadi sederhana.

"Pandangan ini disokong oleh kenyataan yang dikeluarkan oleh bank pusat itu, apabila bank pusat yakin pendirian dasar monetari semasa adalah sedikit akomodatif dan kekal menyokong ekonomi," menurut BMI dalam nota penyelidikan pada Jumaat.

BMI juga menjangkakan BNM mengekalkan kadar dasarnya dalam mesyuarat seterusnya pada Julai atas dua sebab.

Pertama, inflasi keseluruhan terus berkurangan kepada 3.4 peratus tahun ke tahun pada Mac daripada 3.7 peratus pada Februari, menandakan kadar paling perlahan dalam tempoh sembilan bulan.

Firma pembrokeran itu menyatakan inflasi akan terus menjadi sederhana dalam beberapa bulan akan datang disebabkan kesan asas dan harga komoditi yang lebih rendah.

Kedua, ringgit dijangka meneruskan dagangan berjulat dalam beberapa bulan akan datang dan ini bermakna turun naik ketara mata wang tidak akan menimbulkan kebimbangan utama bagi BNM, tambahnya.

"Susulan mesyuarat terkini Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) pada 3 Mei, pasukan global kami menjangkakan Kadar Dana Fed dinaikkan hanya sedikit untuk mencecah paras tertinggi 5.50 peratus menjelang separuh pertama 2023, daripada 5.25 peratus pada masa ini.

"Walaupun jika BNM mengekalkan kadar dasarnya untuk baki tempoh 2023, ini tidak mungkin mencetuskan aliran keluar portfolio yang besar kerana perbezaan kadar faedah akan menjadi kecil," menurut BMI.

Inflasi keseluruhan menjadi sederhana kepada 2.5 peratus pada akhir 2023, menjadikan inflasi purata kepada 2.9 peratus pada 2023 berbanding 3.4 peratus pada 2022, jelasnya.

Sementara itu, BMI menjangkakan pertumbuhan ekonomi menjadi sederhana pada tempoh suku akan datang iaitu kepada 4.8 peratus bagi suku pertama 2023 dan 4.0 peratus pada suku kedua, daripada 7.0 peratus pada suku terakhir 2022.

Ini akan mencecah di bawah purata prapandemik 4.6 peratus yang direkodkan di antara 2018 dengan 2019, menurutnya.

"Kami menjangkakan permintaan terpendam akan reda dan kelembapan permintaan luaran akan turut merebak ke bahagian ekonomi yang lain.

"Dalam penyata dasar monetarinya, BNM juga berpandangan bahawa eksport akan menjadi sederhana," tambahnya.

-- BERNAMA