Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas (bps) kepada 3.25 peratus pada Khamis disebabkan keputusan yang memihak kepada kadar faedah tinggi pada mesyuarat dasar monetari pada November lepas, menurut Standard Chartered Bank (StanChart).

Ketua Penyelidikan Serantau, Southeast Asia Global Research, Edward Lee berkata sudah tiba masanya bagi bank pusat untuk menaikkan kadar faedah sekurang-kurangnya sekali pada tahun ini, bagi mengurangkan kadar faedah negatif dan meningkatkan semula penurunan 25 bps yang dibuat pada Julai 2016.

"Penurunan pada 2016 merupakan langkah awal untuk menangani kesan negatif ke atas ekonomi susulan keputusan Brexit.

"Risiko penurunan tidak berlaku, dan keadaan pertumbuhan global kini positif. Kadar inflasi negara terurus walaupun inflasi menghadapi risiko daripada harga minyak yang tidak menentu," kata Lee pada Taklimat Penyelidikan Global 2018 StanChart di sini pada Khamis.

BACA: Kenaikan OPR tidak bebankan pengguna - Najib PM

BACA: BNM mungkin naikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 3.25 peratus - Bloomberg


StanChart mengunjurkan inflasi Malaysia susut kepada 2.9 peratus pada tahun ini berbanding 3.8 peratus pada 2017.

Dalam kenyataannya, BNM berkata keputusan untuk menaikkan OPR dibuat bagi mengembalikan dasar monetari ke paras yang wajar dengan ekonomi negara berada pada landasan pertumbuhan yang menggalakkan.

-- BERNAMA