KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia telah menerima permohonan Sapura Energy Bhd bagi mendapatkan bantuan untuk menjadi pengantara rundingan penstrukturan semula hutang dengan pembiaya kemudahan pelbagai mata wang (MCF).

Syarikat minyak dan gas yang bermasalah kewangan itu, dalam pemfailan Bursa Malaysia berkata Jawatankuasa Penyusunan Semula Hutang Korporat Malaysia, sebuah jawatankuasa di bawah bidang kuasa Bank Negara, memberi tempoh 60 hari mulai 1 September untuk mengemukakan cadangan penstrukturan semula hutang.

Dalam tempoh ini, pemberi pinjaman MCF ini dijangka akan melihat keadaan secara tidak rasmi dan tidak akan melaksanakan sebarang prosiding.

Sapura Energy berkata penstrukturan semula ini melibatkan perjanjian kemudahan bertempoh berbilang mata wang kanan bertarikh 29 Mac tahun lepas, serta program sukuk pelbagai mata wang sehingga RM10 bilion dalam nilai nominal bertarikh 20 Ogos 2015, dengan Maybank Investment Bank Bhd sebagai pengatur utama dan ejen kemudahan.

Anak syarikat milik penuh kumpulan itu Sapura TMC Sdn Bhd adalah peminjam untuk perjanjian kemudahan berjangka pelbagai mata wang kanan dan penerbit program sukuk pelbagai mata wang.

Ia adalah perkembangan terbaharu Sapura Energy sejak 20 Ogos lalu di mana syarikat itu melupuskan tiga pelantar penggerudian kepada syarikat pembelian tunai berpangkalan di UK pada harga AS$8.2 juta (RM35.14 juta).

Tiga anak syarikatnya iaitu Sapura Drilling T-19 Ltd, Sapura Drilling T-20 Ltd dan Sapura Drilling Setia Ltd., telah menandatangani perjanjian untuk menjual pelantar itu kepada NKD Maritime Ltd .

Kumpulan itu berkata pelupusan pelantar itu adalah sebahagian daripada tumpuannya terhadap kemampanan jangka panjang dan menambah baik kedudukan kecairannya, memperkemas model operasinya dan menyediakan lebih fleksibiliti untuk pertumbuhan strategik. - DagangNews.com