KUALA LUMPUR: Boustead Holdings Bhd melantik Izaddeen Daud sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kumpulannya yang baharu berkuat kuasa 1 Dis 2022, menggantikan Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly selaras dengan program penggantian kepimpinan kanan Kumpulan Boustead.

Dalam satu kenyataan, Pengerusi Boustead Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata lembaga pengarah telah bersetuju melantik Izaddeen, yang mempunyai pengalaman besar dan rekod prestasi cemerlang dalam sektor korporat.

Beliau berkata Izaddeen mendapat sokongan penuh lembaga pengarah untuk menerajui kumpulan dalam mengukuhkan perniagaan teras sedia ada dan membangunkan usaha niaga baharu yang akan meningkatkan lagi nilai pemegang saham dan membawa Boustead ke tahap baharu.

"Kami memberi jaminan kepada pemegang saham kami bahawa perubahan kepimpinan adalah perkara biasa dan semua strategi dan program perniagaan akan diteruskan seperti yang dirancang," katanya.

Sebelum kenaikan pangkat menjadi CEO kumpulan, Izaddeen memegang beberapa jawatan dalam kumpulan termasuk timbalan pengarah urusan kumpulan, pengarah eksekutif untuk pembangunan perniagaan kumpulan dan pemangku CEO Boustead Properties Bhd.

-- BERNAMA