Bank Simpanan Nasional (BSN) menyasarkan lebih RM3 bilion dapat dikumpul menerusi Sijil Simpanan Premium (SSP) bagi tahun 2014.

Menurut Mohd Sofi Mat Jahaya, Naib Presiden Kanan dan Ketua Perbankan Islam BSN, sasaran tersebut merupakan peningkatan pertumbuhan sebanyak RM700 juta berbanding pencapaian 2013 sebanyak RM2.54 bilion.

Bercakap kepada pemberita selepas pengumuman jutawan pertama SSP, Mohd Sofi berkata simpanan dalam bentuk SSP mendapat perhatian memberangsangkan daripada semua lapisan masyarakat dan kaum.

"Perhatian terhadap produk tersebut semakin meningkat berdasarkan pencapaian sasaran pertumbuhan tahun ini. Pelanggan juga dilihat telah menambah unit pegangan mereka, daripada jumlah kecil kepada jumlah yang lebih besar," kata Mohd Sofi.

Beliau menambah produk simpanan patuh Syariah yang berkonsepkan Mudharabah iaitu perkongsian keuntungan, sangat menarik. Di samping menawarkan dividen, ia juga menawarkan pelbagai hadiah berharga melalui cabutan bertuah.

Bagi tahun 2013 BSN menyediakan tiga kategori cabutan iaitu Cabutan Bulanan, Cabutan Tempatan dan Cabutan Istimewa, yang merupakan hadiah perdana RM1 juta.

Bank Simpanan telah menjalankan promosi pencarian jutawan satu juta ini sejak awal 2013.

Pemenang bertuah, yang diumumkan hari ini, ialah seorang wanita berusia 60-an yang berasal dari Negeri Sembilan, Rokeah Mohd Sidek.

Menyentuh mengenai komposisi bangsa bagi pemegang sijil simpanan ini, Mohd Sofi berkata 50 peratus terdiri daripada Melayu, 20 peratus Cina, lapan peratus India dan selebihnya lain lain bangsa.

Beliau turut berkata pada 2014, BSN akan menawarkan lebih 60,000 hadiah dengan jumlah keseluruhan bernilai RM18 juta.

"Hadiah bagi cabutan istimewa tahun hadapan merupakan sebuah kondominium mewah di kawasan segi tiga emas di ibu negara, dengan harga belian daripada pemaju berjumlah RM1.4 juta," katanya.

Menurutnya selain itu, BSN juga akan menawarkan hadiah seperti kenderaan mewah BMW dan Mercedes, pakej pelancongan ke Korea dan pelayaran eksklusif serta hadiah pelbagai peranti seperti telefon pintar dan peralatan elektronik lain.