Bursa Malaysia akan tetapkan kriteria bagi penerimaan pegangan saham lebih rendah

Bernama
Julai 23, 2020 21:57 MYT
Kertas rundingan mengenai cadangan pindaan LR boleh didapati di www.bursamalaysia.com, Bursa Malaysia sangat mengalu-alukan pandangan daripada orang ramai.
Bursa Malaysia Bhd telah mencadangkan untuk menetapkan pertimbangan dasar untuk penerimaan peratusan pegangan saham awam yang lebih rendah dengan meminda meminda Keperluan Penyenaraian (LR) di Pasaran Utama dan ACE.
Bursa Malaysia pada Khamis mengeluarkan kertas perundingan untuk meminta maklum balas orang ramai mengenai cadangan pindaan tersebut.
"Walaupun LR ketika ini menetapkan bahawa penerbit tersenarai mesti memiliki sekurang-kurangnya 25 peratus saham/unit tersenarai dipegang orang awam, Bursa Malaysia menyedari dalam beberapa keadaan, ia mungkin memerlukan pegangan saham oleh orang awam yang lebih rendah tanpa menjejaskan pasaran yang adil dan teratur.
"Bursa Malaysia telah menerima pegangan saham awam lebih rendah, antara 15 peratus dan 25 peratus dengan meminda LR untuk beberapa penerbit tersenarai besar dengan syarat bahawa peratusan yang lebih rendah itu mencukupi untuk pasaran," kata Bursa Malaysia dalam satu kenyataan.
Kriteria objektif yang dicadangkan itu adalah berdasarkan kepada permodalan pasaran.
Syarikat mesti mempunyai permodalan pasaran sekurang-kurangnya RM1 bilion tetapi kurang daripada RM3 bilion untuk penerimaan saham awam lebih rendah sebanyak sebanyak 20 peratus. Bursa Malaysia boleh menerima saham awam lebih rendah yang minimum sebanyak 15 peratus untuk syarikat dengan had pasaran RM3 bilion dan ke atas.
"Selain itu, Bursa Malaysia akan mempertimbangkan kriteria subjektif lain, seperti kecukupan kecairan, ketertiban dagangan sekuriti, kelakuan tadbir urus korporat dan rekod pematuhan penerbit/pemohon yang disenaraikan dan para pengarahnya, serta justifikasi yang memerlukan pegangan saham awam yang lebih rendah," katanya.
Ia berkata cadangan pindaan LR itu bertujuan untuk meningkatkan ketelusan dan memberikan peraturan jelas dan kepastian mengenai dasar yang berkaitan dengan penerimaan pegangan saham awam yang lebih rendah.
"Ini juga merupakan sebahagian daripada kajian dari semasa ke semasa Bursa Malaysia terhadap LR untuk memastikan peraturannya tetap relevan, dapat menangani perkembangan terbaharu di pasar serta konsisten dengan amalan terbaik antarabangsa," katanya.
Kertas rundingan mengenai cadangan pindaan LR boleh didapati di www.bursamalaysia.com, Bursa Malaysia sangat mengalu-alukan pandangan daripada orang ramai.
Pihak yang berminat dijemput untuk menghantar komen dan maklum balas mereka kepada Bursa Malaysia selewat-lewatnya pada 21 Ogos 2020.
-- BERNAMA
#Bursa Malaysia #cadangan #Kajian #Keperluan Penyenaraian #kertas rundingan #LR #maklum balas #pasaran utama #pegangan saham #pinda #pindaan #saham #saham awam #syarikat