KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia menyaksikan dagangan bercampur-campur pada pagi Khamis ketika sentimen berhati-hati walaupun Wall Street meningkat dalam dagangan semalaman, kata peniaga.

Pada 9.06 pagi ini, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 2.04 mata kepada 1,413.80 daripada paras 1,415.84, semalam.

Sewaktu dibuka, indeks itu turun 2.40 mata pada 1,413.44.

Di pasaran meluas sebaliknya menyaksikan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 155 berbanding 138 manakala 254 kaunter tidak berubah, 1,741 tidak diniagakan dan 15 digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 173.19 juta unit bernilai RM71.21 juta.

Dalam nota penyelidikannya, Malacca Securities Sdn Bhd berkata prestasi Wall Street yang lebih positif semalaman dijangka mengundang minat belian ke atas bursa, terutama sektor teknologi manakala sektor tenaga akan berada di bawah tekanan berikutan kejatuhan harga minyak mentah Brent.

Pada masa sama, katanya, pelabur masih dalam kedudukan bertahan menjelang pengumuman Belanjawan 2024 minggu depan dan lebih menumpukan pemangkin domestik dalam masa terdekat susulan pelancaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara dan Pelan Induk Perindustrian Baharu.

"Berikutan itu, aktiviti dagangan juga boleh membabitkan dalam sektor pembinaan, bahan binaan serta hartanah," katanya.

Prestasi awal saham wajaran tinggi seperti Maybank tidak berubah pada RM8.73, Public Bank naik satu sen kepada RM4.06, CIMB menokok dua sen kepada RM5.42, Tenaga Nasional turun tiga sen kepada RM9.93 dan Petronas Chemicals berkurangan lima sen kepada RM7.05.

Bagi saham aktif, KNM dan Tanco masing-masing naik setengah sen kepada 17 sen dan 55 sen, Ekovest meraih 1.5 sen kepada 55 sen dan Sarawak Consolidated naik satu sen kepada 48.5 sen manakala Bumi Armada turun setengah sen kepada 53.5 sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas merosot 9.10 mata kepada 10,484.73, Indeks FBMT 100 berkurangan 10.60 mata kepada 10,154.15 dan Indeks FBM Emas Shariah turun 22.08 mata kepada 10,760.0.

Indeks FBM ACE turun 2.86 mata kepada 5,117.56 manakala Indeks FBM 70 pulih 3.23 mata kepada 13,999.93.

Selain itu, bagi sektor menyaksikan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.22 mata kepada 169.89, Indeks Tenaga naik 9.73 mata kepada 848.32 manakala Indeks Perladangan merosot 18.46 mata kepada 6,807.37 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 12.54 mata kepada 15,844.67.

-- BERNAMA