KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia terus mencatatkan penurunan semalam untuk dibuka rendah hari ini, sejajar dengan prestasi semalaman Wall Street yang lemah menjelang ucapan Pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) Jerome Powell kepada Kongres.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 4.56 mata kepada 1,532.42 daripada 1,536.98 semalam.

Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 4.53 mata kepada 1,532.45.

Dalam pasaran secara menyeluruh, sentimen adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 228 berbanding 138 manakala 268 kaunter tidak berubah, 1,629 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 178.11 juta unit bernilai RM132.22 juta.

Dalam nota penyelidikan, Malacca Securities Sdn Bhd berkata peniaga akan memantau ucapan Powell malam ini untuk mendapatkan petunjuk baharu dalam pasaran.

Selain itu, katanya Wall Street ditutup rendah didorong oleh Apple selepas sebuah laporan menyatakan bahawa jualan iPhone di China jatuh dalam tempoh enam minggu pertama tahun ini.

"Sementara itu, peniaga akan memantau data pembuatan dan senarai gaji bukan ladang pada minggu ini," katanya.

Dalam negara, ia menjangka peniaga akan memberi tumpuan kepada segmen komoditi seperti sektor minyak dan gas, emas dan perladangan berikutan harga komoditi asas mereka yang diniagakan tinggi pada sesi tersebut.

"Di bawah persekitaran berhati-hati ini, kami menjangka peniaga akan mencari peluang dalam syarikat yang mempunyai lembaran imbangan yang kukuh dan hasil dividen yang tinggi.

"Sementara itu, kami memilih saham perbankan, pembinaan dan hartanah yang terpilih," katanya.

Dalam kalangan kaunter saham wajaran tinggi, Maybank merosot tiga sen kepada RM9.60, CIMB susut lapan sen kepada RM6.45, Public Bank berkurangan dua sen kepada RM4.30, Tenaga Nasional tidak berubah pada RM11.16 manakala Petronas Chemicals meningkat tiga sen kepada RM6.89.

Dalam kalangan saham aktif, Genting menambah 12 sen kepada RM5.01, VSolar Group naik 1.5 sen kepada 12 sen, Master Tec Group meningkat 2.5 sen kepada 82.5 sen manakala TWL Holdings dan Mag Holdings, masing-masing tidak berubah pada 3.5 sen dan 18.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 30.60 mata kepada 11,366.41, Indeks FBMT 100 berkurangan 30.32 mata kepada 11,034.97, Indeks FBM Emas Shariah susut 10.99 mata kepada 11,374.10, Indeks FBM 70 turun 31.71 mata kepada 15,331.70 manakala Indeks FBM ACE naik 5.25 mata kepada 4,704.41.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 103.381 mata kepada 17,186.75, Indeks Tenaga berkurangan 8.61 mata kepada 898.66, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 0.52 mata kepada 173.95 manakala Indeks Perladangan naik 5.91 mata kepada 7,184.20.

-- BERNAMA